The Smurfs akan ditayangkan sempena Hari Raya pada 19 Ogos 2012, pada jam 8 malam khas di HBO (Astro Saluran 411) /HBO HD (Astro Saluran 431). Kerjasama ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 20 HBO Asia di rantau ini.
Ramai artis dan personaliti Malaysia yang popular telah meminjamkan suara mereka untuk filem ini. Antara nama-nama yang terkenal adalah seperti pasangan pengantin baru yang popular, Lisa Surihani dan Yusri Abdul Halim yang turut disertai oleh Aznil Haji Nawawi, Hafizuddin Fadzil, Hazama, Adifashla, serta Ray dan Haniff. Penyampai radio ERA fm juga turut terlibat sama di dalam menjayakan filem alih suara ini.
Selain itu juga, barisan artis lain yang turut terlibat adalah seperti Hafiz Suip, Dato’ AC Mizal serta isterinya Datin Emilia Rosnaida, Elfira Loy, Shiro dan ramai lagi yang turut serta.
Lisa Surihani yang diberikan peranan untuk membawakan watak si comel Smurfette nyata nampak teruja dengan penampilan pertamanya di dalam filem alih suara. Lisa turut memberitahu yang dia sememangnya menggemari watak Smurfette yang comel dan satu-satunya karakter perempuan di dalam keluarga The Smurfs.
Malah, Lisa juga nampak teruja dengan kemunculan mascot Smurfette dan Clumsy yang tiba sebagai kejutan buat semua yang hadir. Turut terlibat, Yusri Abdul Halim yang membawakan watak Brainy Smurf memberitahu yang dia perlu mengepit atau mengecilkan suaranya untuk menyesuaikan diri dengan watak Smurfs yang kecil, comel dan pelbagai karakter.
Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil pula diberikan tugasan untuk membawakan watak ahli sihir yang jahat iaitu Gargamel. Bertanya mengenai kesukaran membawakan watak antagonis ini, Pak Nil memberitahu yang dia perlu menyesuaikan suaranya dengan watak dan karakter Gargamel agar tidak menyerupai suara karakter jahat yang pernah dibawakan sebelum ini seperti contoh, Professor Klon.
Manakala bagi Hafizuddin Fadzil yang membawakan watak Papa Smurfs pula ini merupakan antara kerja yang dia sukai dan kemunculannya di dalam filem alih suara bukanlah satu perkara baru. Suaranya banyak digunakan di dalam filem animasi Malaysia dan juga filem alih suara yang lain. Kebanyakan antara mereka bersetuju dan memberitahu yang kesukaran utama mereka adalah untuk mendapatkan emosi dan menyesuaikan suara mereka dengan pergerakan mulut watak yang mereka bawakan.
Bukan hanya ada artis Malaysia sahaja yang terlibat. Malah, kemunculan blogger hiburan tanah air juga turut sama menyumbangkan suara mereka di dalam filem alih suara The Smurfs ini. Kemunculan blogger seperti Budi daripada Budiey.com dan Nazuwan Ahmad dari BeautifulNara.com juga turut sama ada.
Filem komedi keluarga ini mengisahkan mengenai kisah Gargamel, ahli sihir jahat yang mengahalau Smurfs yang berwarna biru itu keluar dari kampung mereka dan secara tiba-tiba mereka telah jatuh dari dunia ajaib dan memasuki dunia kita, di tengah-tengah kawasan Central Park, New York. Mereka perlu segera pulang sebelum Gargamel berjaya mengesan mereka. Adakah mereka berjaya pulang dan berjaya selamat dari menjadi mangsa Gargamel?
Jom saksikan The Smurfs!
0 ulasan:
Catat Ulasan