Hampir semua program realiti lebih kepada undian secara sistem pesanan ringkas (SMS), tetapi sebuah lagi program yang bakal ke udara, Geng Bakat menolak format sedemikian.

Dalam Geng Bakat, syarat utama peserta mesti dianggotai dua ahli iaitu kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dan seorang lagi mestilah remaja berumur 13 hingga 25 tahun.

Jarang sekali dibuat format sebegini, Geng Bakat juga tidak akan menumpukan semata-mata kepada nyanyian, sebaliknya menilai banyak aspek termasuk tarian dan kemahiran bermain alat muzik.

Dilantik sebagai juri tetap sepanjang program ini berlangsung, penyanyi dan penasihat vokal, Fairuz Hussein menyifatkan ini adalah satu peluang keemasan buat sesiapa yang ada ketiga-tiga kebolehan terbabit.

"Pertandingan ini bertujuan mencari bakat yang belum pernah kita lihat. Itulah sebabnya kami luaskan skop pemilihan peserta dengan menggabungkan tiga elemen berkenaan supaya lebih terserlah kreativiti mereka.

"Dari segi konsep juga, kami tidak membataskan apa-apa kerana kami mengharapkan sesuatu yang lebih segar ditunjukkan. Memanglah ia masih lagi program berbentuk nyanyian, namun kami benar-benar mahu bertemu dengan bakat luar biasa.

"Lagipun, pemenang yang akan digilap daripada rancangan ini bukan saja didedahkan ke lapangan arus perdana saja, namun banyak ruang lain menanti dan kami sedia untuk membantu," katanya.

Sewaktu uji bakat itu nanti, peserta diminta membawa alat muzik seperti gitar, harmonika, keyboard ataupun minus one dan lain-lain keperluan sendiri. Pemilihan lagu pula adalah bebas dan peserta diminta tampil dengan satu persembahan yang benar-benar kuat bagi memikat juri.

"Sebanyak 32 kumpulan dipilih untuk bertanding di peringkat saringan yang dibuat berperingkat-peringkat. Daripada jumlah berkenaan, kami hanya menyenaraikan lapan kumpulan terbaik untuk layak ke pusingan separuh akhir nanti.

"Sebenarnya, kami juga membuka penyertaan secara online menerusi laman facebook rasmi Geng Bakat dan sangat mengalu-alukan peserta menghantar video nyanyian mereka," tambahnya.

Dijangka memulakan konsert mingguan selepas Hari Raya nanti, Geng Bakat dihoskan vokalis kumpulan Duta, Juril Jumali yang bergandingan dengan pelakon dan pengacara, Eyra Razali.

Selain itu, tayangan untuk konsert mingguan program realiti ini juga akan ke udara di TVi Radio Televisyen Malaysia (RTM) manakala perkembangan terbaru boleh diikuti menerusi facebook rasminya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top