Giring bahagia bersama isteri tercinta, Cynthia Riza , 24, bersama dua permata hatinya, Zidane dan Aisyah. Tiada apa lagi yang lebih bermakna dalam hidupnya kini kerana selain meneruskan survival sedekad bersama Nidji dan terus dijulang kelompok peminat setia bergelar Nidjiholic, kehadiran tiga insan istimewa itu dalam hidup Giring sudah dianggap cukup dirahmati.
Terserlah naluri bapa yang cukup menebal pada Giring saat melayan kerenah Aisyah dan Zidane. Aisyah menjadi lambang cintanya kepada Cynthia selepas perkahwinan dibina mencecah dua tahun itu, manakala Zidane pula anak tiri Giring melalui perkahwinan terdahulu Cynthia.
Kedua-dua anak kesayangannya itu diumpamakan sebagai inspirasi yang terus menyuntik semangat, ilham dan modal buat Giring mengukir senyuman. Aisyah (setahun lebih) dan Zidane (tujuh tahun) dilayan sama rata. Keakraban Zidane dengan Giring membuktikan tiada istilah berat sebelah atau jurang di antara mereka.
“Tempoh dua tahun membina keluarga ini bukan mudah seperti disangka. Tapi saya percaya setiap tolak ansur, memahami dan komunikasi menjadi pengalaman berharga. Saya bersyukur dan bertuah dikurniakan isteri dan anak yang menjadi harta terindah.
“Setiap hari, saya jatuh cinta dengan dia (Cynthia). Melihat anak membesar di depan mata cukup membahagiakan. Melihat Zidane daripada tidak boleh berbahasa Inggeris hinggalah boleh juga cukup menyeronokkan. Saya dan isteri juga cuba membiasakan diri berkomunikasi dengannya di rumah kerana temannya di sekolah pun berbahasa Inggeris.
“Selain itu, Aisyah juga sebenarnya kuat cemburu juga apabila melihat Zidane berada dekat dengan saya. Berada berjauhan dengan keluarga juga pantas membikin saya rindu kepada mereka. Dulu zaman bujang, fikirkan nak buat wang saja tetapi sekarang keutamaan semestinya pada keluarga,” kata Giring memuji Cynthia yang cukup sabar berdepan dengan kehidupan masyhurnya.
Seperti lelaki lain, Giring juga berkeinginan untuk menambah zuriat sekali gus membesarkan legasi keturunannya. Namun akui Giring, apa saja yang ingin dilakukan terutama selepas berkeluarga perlu ada perancangan, apatah lagi dalam hidup segala-galanya perlukan wang.
“Sekarang pun saya turut membuat tabungan untuk masa depan yang lebih cerah buat anak. Termasuklah dalam hal pendidikan. Bapa mana yang tidak mahu melihat anak mereka membesar dan berjaya menjadi berguna. Tetapi saya juga tidak menegah andai kata mereka memilih untuk menjadi anak seni seperti saya,” katanya sambil memberitahu Aisyah juga gemar menyanyi.
Mengenai seni, selepas terbabit dengan Gig Triple Play bersama kumpulan Hujan dan Bunkface, jadual kedatangan Nidji ke Malaysia, baru-baru ini, turut diisi rakaman program raya bersama TV9, Laskar Pelangi yang turut menampilkan Aizat sebagai tetamu undangan.
“Kami juga akan terbabit dengan pembikinan album runut bunyi untuk filem 5 CM arahan Rizal Mantovani. 5 CM antara novel terlaris di Indonesia. Pada masa sama, kami dalam proses menyiapkan album Victory yang memuatkan lima lagu bahasa Inggeris dan lima lagu bahasa Melayu. Selepas beberapa kali datang ke Malaysia, kami bercita-cita mahu adakan konsert di Malaysia. Peluang berkongsi pentas dengan Hujan dan Bunkface di Gig Triple Play juga menjadi ruang kita terus bersatu dalam pelbagai genre muzik. Inisiatif TV9 wajar dipuji,” kata Giring yang menghargai muzik teman seperjuangan di negara ini.
Sementara itu, Cynthia yang masih menuntut di Universiti Bina Nusantara dalam bidang pengurusan tidak melihat Giring sebagai rockstar kegilaan ramai. Sebaliknya, Giring yang dikenalinya hanya lelaki biasa yang cukup menyayangi keluarga.
“Saya bangga dengan kejayaannya bersama Nidji. Malah sebagai suami, dia cukup terbaik buat saya. Setiap hari dia sangat romantis dengan saya. Malah saya sentiasa memahami tuntutan kerjanya. Sejak bercinta lagi, saya membiasakan diri melihat kemasyhuran yang dikecapinya termasuk mempunyai peminat,” kata Cynthia yang mengakui ada mengenali kelompok peminat Nidji dan suaminya.
Kata Cynthia, selain bercuti, mereka sekeluarga juga gemar menonton teater muzikal kanak-kanak dan bermain di taman permainan.
“Ke mana pergi pun, kami akan guna telefon dan gajet elektronik lain untuk berhubung. Saya percaya komunikasi itu menjadi nadi kepada kerukunan segala-galanya,” kata si jelita yang merendah diri.
Info Giring dan Nidji
* Selain Giring, Nidji dianggotai Rama (Muhammad Ramadista Akbar) dan Ariel (Andi Ariel Harsya) di posisi gitar, pemain dramnya, Adrie (Muhammad Adri Prakarsa), Andro atau nama sebenarnya, Muhammad Andro Regantoro (bass) dan si kurus tinggi lampai, Randy (Randy Danistha) juga pemain keyboard.
* Sudah menghasilkan Breakthru' (2007), Top Up (2008), Let's Play (2009) dan terbaru meraikan sedekad dalam industri, Nidji sedia melancarkan dua album terbarunya, Liberty juga album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu dan album Victory bagi pasaran antarabangsa.
* Usia perkahwinan Giring dengan Cynthia sudah cecah dua tahun.
* Nidji pernah melalui kemelut 'Star Syndrome' apabila mereka lupa dunia realiti yang hidup berlandasan populariti yang datang bergolek. Natijahnya, Nidji hampir dibubarkan.
* Giring sebelum ini cukup dikenali dengan gaya rambut kerinting sebelum tampil berambut pendek. Lelaki stailo itu teringin meluruskan rambut kerana rambut asalnya memang kerinting sejak kecil.
0 ulasan:
Catat Ulasan