Program bual bicara TV3 iaitu BROS, bermula 1 Julai 2012, setiap hari Ahad jam 11.00 malam. Uniknya, program BROS mengetengahkan segmen dan isu berkaitan dunia lelaki di mana ia akan membincangkan secara santai perihal kaum adam mengikut perspektif pihak lelaki dan juga wanita.

Bros bersiaran selama 13 episod, program BROS memperkenalkan pembaharuan kepada golongan lelaki dari segi pemahaman, pandangan serta kebolehan yang boleh digunakan oleh lelaki dalam menjalani kehidupan. Maklumat daninformasi yang dapat dikupas dalam program BROS bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh golongan lelaki malah ia membawa satu perspektif baru buat pandangan wanita mengenai golongan Adam.


Program rakaman yang bersiaran selama satu jam ini akan dikendalikan oleh dua personality berbakat besar iaitu Sherson Lian (Sherson) dan Hisham Hamzah (Sham). Ini merupakan gandingan julung kalinya buat dua personaliti ini dalam mengendalikan program bersama. Ternyata pengalaman Sherson mengendalikan program ‘5 Rencah 5 Rasa’ dan pengalaman Hisham dalam mengacara program ‘Sarapan’ menyerlahkan keserasian mereka berdua. Setiap minggu, Sherson dan Sham bukan sahaja akan berinteraksi dengan selebriti jemputan malah mereka juga akan berkomunikasi lebih dekat dengan penonton bagi memudahkan lagi maklumat disampaikan. Pada masa yang sama, BROS juga akan memaparkan aktiviti-aktiviti yang mewakili golongan lelaki dengan mengajak penonton studio mengambil bahagian dalam setiap segmen dan pelbagai hadiah menarik akan diberikan kepada bakal pemenang. Selain itu slot motivasi bersama pakar motivasi akan memantapkan lagi perbincangan di dalam program BROS.

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Jika TV3 cukup dikenali dengan rancangan bual bicara popular khas untuk kaum Hawa, Wanita Hari Ini (WHI) yang kini sudah pun memasuki ulang tahun ke-10, kami yakin kemunculan program BROS yang mengetengahkan kaum Adam ini juga akan turut disambut baik oleh para penonton berdasarkan konsep menarik dan topik perbincangan yang relevan bersesuaian dengan citarasa masyarakat Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menonton gandingan 2 pengacara berbakat, Shersondan Sham yang diberi tanggungjawab buat pertama kalinya mengendali program BROS. Personaliti Sham yang agak lasak dan sukakan cabaran pastinya serasi dengan sikap Sherson yang bersahaja dan berkebolehan di dapur. Hari minggu anda pastinya akan lebih bermakna menerusi perisian mantap serta hiburan santai yang disajikan setiap malam Ahad.”

Berbeza dengan program bual bicara lain, BROS tampil dengan keistimewaan dan kekuatannya yang tersendiri dengan set studio dan suasana yang menarik. Uniknya BROS mempunyai set studio yang memberi ruang untuk Sherson mempamerkan bakat memasaknya sekaligus membawa kelainan buat BROS di mana bukan sahaja membincangkan topic lelaki malah berkongsi tip memasak yang mudah untuk kaum lelaki. Menariknya setiap minggu program BROS akan diiringi oleh band yang berbeza dan antaranya ialah OAG, Kumpulan Drama, The Sibling dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios di bawah arahan Puan Che Rozaini Ahmad selaku penerbit musim ini, BROS menjanjikan topic perbincangan menarik seperti ‘KenaliLelaki’, ‘Lelaki Dan Perhubungan’, ‘I Love Sport’, ‘Lelaki Idaman’ ‘Macam Mana Nak Mengorat?’, ‘Anak Mak’, ‘Men’s Health dan ‘Big Boys Toy’.

Manakala barisan selebriti yang bakal berkongsi pendapat dan pengalaman di dalam program BROS ialah Faradhiya, Alan Yun, Fizo Omar, Shahrizal Jaszle, Neelofa, Almy Nadia, Yuna, Qushairi Razali (Qi), Tasha Shilla, Diana Amir, Memey, Johan As’ari, IzaraAishah, Hafiz,Nas-T, Amy Mastura dan ramai lagi. Jangan lepaskan peluang menyaksikan BROS setiap hari Ahad jam 11.00 malam di TV3.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top