Penyanyi Ziana Zain akui sangat risau mendengar kisah rumahtangga artis dan selebriti yang goyang dan bercerai-berai. Ziana Zain sudah 14 tahun mengharungi kehidupan berumah tangga bersama suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin.

“Bagi saya, gaduh dan bermasam muka adalah asam garam rumah tangga. Jika tidak bergaduh pun, tidak manis pula hubungan itu. Empat belas tahun jadi isteri, ia bukan perkara mudah untuk dilalui. Banyak dugaan yang perlu dihadapi suami isteri. Ini kerana selepas bergaduh, kita akan rasa lebih menyayangi dan memahami pasangan,” kata Ziana yang dikurniakan empat cahaya mata termasuk sepasang kembar hasil perkongsian hidupnya dengan suami.

Sepanjang menempuh hidup sebagai isteri dan ibu, tawakal serta reda sentiasa tersemat dalam doanya.

“Selain meminta rezeki dan dipanjangkan umur, saya sentiasa sematkan dalam hati dan panjatkan doa untuk belajar reda dengan keadaan,” katanya berterus terang.

Pesan ibu kunci bahagia
Ziana akui, dia sentiasa ingat pesan ibu tersayang, Robiah Abdul bahawa kunci kebahagiaan terletak kepada diri sendiri, bukan orang lain.

"Sampai sekarang, saya sentiasa ingat pesan emak. Kata emak, kita yang kayuh sampan, kita yang kemudi sampan, jika silap mendayung, padah akibatnya. Semua yang manis dan pahit terletak kepada diri sendiri untuk memilihnya.

“Itu yang saya pegang sampai hari ini dalam mengekalkan kebahagiaan berumah tangga. Lagi pun, kita yang memilih pasangan hidup kita. Jadi harungilah semuanya dengan sabar dan tabah,” katanya.

Ziana berkata, Armin Zaharin adalah lelaki pilihannya sendiri, bukan diatur keluarga.

“Jadi sikap tolak ansur, kesefahaman dan komunikasi adalah perkara yang perlu ada dalam hubungan suami dan isteri," katanya.

Ziana berkata, dia sentiasa belajar untuk menjadi isteri dan ibu yang baik.

"Kepercayaan itu penting. Kita perlu selalu bertanya kepada pasangan apa yang dia tidak puas hati terhadap kita. Jangan sesekali segan dan silu untuk meluahkan kekurangan pasangan.

"Bagi saya, artis atau tidak, semuanya sama saja. Seperti saya, ketika membuat keputusan untuk berkahwin, saya sentiasa berdoa dan tekad memilih lelaki yang sederhana dan sepadan dengan saya.

“Kehidupan saya adalah sederhana dan bukan kaya, jadi saya rasa lebih selamat memilih lelaki yang mempunyai ciri-ciri sederhana dari segala bentuk," katanya.



Rakan artis minta nasihat

Tak menafikan dunia artis bagai diancam isu perkahwinan tidak kekal, Ziana mengakui ada seorang dua rakan artis yang meminta dia memberi panduan hidup bahagia.

"Ada juga yang meminta nasihat dan apa yang boleh saya bantu, saya akan cuba kongsi. Namun, perkara ini berbalik kepada soal jodoh pertemuan. Jika bukan artis pun, jika sudah ditakdirkan bercerai, ia akan terjadi juga," katanya.

# Semoga Ziana Zain kekal berbahagia di samping suami dan anak-anak dan menjadi contoh yang baik kepada rakan artis yang lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top