Sinopsis Renungan Ajal

Renungan Ajal berkisar tentang Yusof (Hafidzuddin Fadzil), seorang lelaki yang warak dan sentiasa beramal soleh sesuai dengan tugasnya sebagai seorang guru agama berpangkat Mejar di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Dia mempunyai didikan dan pelajaran sempurna di dalam agama Islam. Tugas Mejar Yusof sememangnya mencabar setiap ruang minda dan kesabarannya. Keazamannya untuk mendidik anak bangsa seagama itulah yang menguatkan semangat beliau untuk menerima segala cabaran.

Setiap sesuatu yang dilakukan oleh Yusof adalah dengan penuh hikmah dan sabar. Sebagai seorang suami dan bapa, dia seorang yang bertanggungjawab dan amat menyayangi isterinya, Umie (Marisa Yasmin) dan anaknya, Ain (Sari Yanti).

Biarpun tegas di sebalik kariernya sebagai pegawai tentera, dia sentiasa beralah dengan pujukan terutama isterinya kerana kasih sayang. Namun, dia sedaya upaya mendidik anak dan isteri dengan memberikan tunjuk ajar ke arah kehidupan yang diredai Allah.

Dia dihormati di kalangan jiran tetangga dan menjadi rujukan penduduk setempat. Ketika bertugas pula, dia mentarbiah dan mendidik anggota-anggota tentera yang datang dari pelbagai latar belakang pendidikan agama, karakter dan kerenah.

Kerana tanggungjawabnya, dia dianggap seperti seorang bapa kepada tentera di bawah penyeliaannya, tidak kira yang berbangsa Melayu, Cina atau India atau daripada apa jua suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Beberapa anggota yang rapat dengan Yusof ialah Sarjan Damit (Buzen), Sarjan Chong, Koperal Devan, Koperal Kassim, Prebet Luqman. Kerenah dan gelagat mereka memeningkan kepala Yusof dengan segala macam konflik yang ditimbulkan mereka.

Segala-galanya berubah apabila dia dianugerahkan oleh Allah SWT dengan tanda kematian di mana tanda yang pertama bermula pada suatu hari selepas beliau mendirikan solat Asar, iaitu tanda kematian yang akan terjadi di dalam 100 hari.

Tanda waktu 100 hari usia yang tersisa sebelum pergi mengadap Allah buat selama-lamanya meletakkan jiwanya di dalam keadaan berbelah bagi.

Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, warak dan sentiasa beramal soleh serta berusaha mendekatkan diri kepada Penciptanya, sudah tentu kerinduan untuk mengadap Allah dan Rasulullah sentiasa ada, tetapi pada masa yang sama beliau juga seorang suami dan ayah yang amat menyayangi keluarga.

Kebingungan yang dialami oleh Yusof membawa dia merujuk kepada gurunya, Tuan Haji Bakhtiar. Dengan waktu 100 hari yang tersisa itu, dia menanti dengan penuh gusar akan tanda-tanda yang seterusnya pada 40 hari, 7 hari, 3 hari dan 1 hari.

Saksikan drama menarik ini untuk mengetahui kesudahannya. Turut berlakon ialah Khairil Anwar, Azrul Hizar, Nasrul Anuar, Zulaika AF, Norlia Ghani, Tamam Idris, Kuna dan Nurzahira Natasha.

Info drama Renungan Ajal


Telefilem Renungan Ajal terbitan Global Network Entertainment Sdn Bhd.

Daripada karya Nasharuddin Mohd Nasir, telefilem arahan Haris Kadir daripada idea asal Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini mengisahkan mengenai tarikh kematian yang telah diketahui akan tiba.

Bukan disebabkan hukuman mati oleh mahkamah kerana jenayah yang dilakukan, tetapi anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih berdasarkan amalan-amalan soleh dan ketakwaan masing-masing.

Bersandarkan hukum logik, tanda-tanda kematian mengikut pandangan ulamak adalah benar dan wujud .Cuma amalan dan ketakwaan kita saja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.

Penerbitnya, Zaharudin Abd Wahab atau Den Wahab berkata, Renungan Ajal yang akan menemui peminat menerusi saluran Astro Oasis pada 29 Julai ini, jam 10.30 malam berkonsepkan sebuah drama keluarga tentera yang berunsur Islam.

"Kami menghasilkan drama ini dengan pelbagai tujuan iaitu untuk memberi hiburan yang membina sahsiah para penonton, mendedahkan aktiviti keagamaan di dalam Angkatan Tentera Malaysia, khususnya tentera darat dan menyebarkan dakwah secara tidak langsung.

"Selain itu, ia juga bermaksud memberi kefahaman mengenai konsep amal maaruf nahi mungkar dan memberi keinsafan kepada mereka yang tersasar dan semoga menemui jalan kembali kepada-Nya.

"Semua cerita ini digarap dengan menarik agar menimbulkan kesan kepada penonton. Pelbagai karakter yang dekat dengan masyarakat ditampilkan dan saya percaya selain berhibur, penonton akan dapat mengambil pengajaran yang diselitkan di dalamnya," katanya.



1 ulasan:

  1. cerita ni best sgt.menyentuh ati n perasaan.sedih sgt bila part yg wife dia dpt tau yg dia meninggal.wawawawa!!

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top