Anita, 28, berkata, dia hanya akan menerima sesebuah tawaran jika ibunya mempunyai masa terluang untuk menjaga kanak-kanak berkenaan ketika menjalani penggambaran atau dibenarkan oleh pihak produksi untuk membawa anak ke lokasi.
“Saya terpaksa tetapkan dua syarat ini iaitu saya akan terima tawaran jika ibu sanggup datang ke rumah untuk menjaga Iskandar ketika saya menjalani penggambaran atau jika saya dibenarkan membawa anak ke lokasi.
“Saya harap tiada pihak yang salah faham dengan dua syarat tersebut kerana saya terpaksa utamakan anak kerana dia masih kecil. Saya sudah serik untuk mempunyai pembantu rumah dan tidak yakin kepada pengasuh di luar. Hanya ibu saya yang memahami sepenuhnya kerenah anak saya,” katanya.
Anita turut mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Syifa Dhia Nurina, 5, hasil perkahwinannya dengan penerbit program dalaman Astro, Mohd Ismadi Ismail.
Anita yang kembali aktif berlakon sejak dua bulan lalu berkata, dia masih kekok berada di lokasi penggambaran selepas setahun lebih berehat kerana melahirkan anak keduanya itu.
“Kalau hendak tahu, saya sibuk di lokasi penggambaran selama dua bulan lepas untuk dua drama bersiri iaitu Keluarga Iskandar dan Geng Surau musim kedua. Saya akui agak kekok dan terpinga-pinga sikit untuk berlakon selepas bercuti panjang.
“Kedua-dua komitmen itu sudah selesai dan sekarang saya terpaksa berehat di rumah dulu untuk menjaga Iskandar kerana ibu sudah pulang ke kampung. Lagipun, sudah dua bulan saya bekerja tanpa henti biarlah saya berehat seketika,” katanya.
Anita berkata, bagaimanapun dia tetap berharap akan menerima satu atau dua tawaran lakonan pada bulan Ramadan nanti bagi mengisi masanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan