Filem Jalan Pintas bertema realistik drama kehidupan sosial yang diarahkan pelakon dan aktivis teater, Nam Ron dijemput untuk mengadakan tayangan perdana antarabangsanya bersempena dengan Festival Filem Fantastik Antarabangsa Puchon (Pifan) ke-16 yang berprestij sejak 19 hingga 29 Julai ini.
Menurut Nam Ron yang sebelum ini pernah membintangi filem Gubra dan drama Sanggul Beracun, Jalan Pintas sebuah naskhah yang berbeza dan mencerminkan kelainan berbanding filem arus perdana yang sering dipertontonkan.
"Realiti dan kehidupan sebenar adalah elemen yang cuba kami terjemahkan menerusi filem ini. Menerusi konsep dan pengarahannya, Jalan Pintas mampu menyerlahkan bakat dan pesona kesemua barisan pelakonnya dalam menghidupkan setiap watak yang diberikan. Apa yang dipaparkan adalah lain dan sukar untuk dilihat dalam mana-mana filem arus perdana," katanya.
Jalan Pintas ditulis Ayam Fared dan dipaparkan di dalam seksyen Vision Express. Selari dengan objektif penganjuran Pifan yang bermula pada tahun 1997 bagi simbol kepada bandar Bucheon yang dikenali sebagai pusat budaya yang menggabungkan animasi, kartun, permainan dan filem, filem yang diterbitkan Rumah Anak Teater ini dilihat naskhah terbaik sentuhan anak tempatan.
Meletak nama besar sebagai sandaran pelakonnya termasuk Sharifah Amani, Beto Kusyairy, Bront Palarae dan Auf Razak, filem ini mengisahkan perjalanan Bakar, seorang graduan jurusan kejuruteraan yang juga memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki sulung dalam keluarganya.
Bakar berdepan dengan komitmen dalam membantu keluarga terutamanya ibu dan adik perempuannya selepas ketiadaan ayah dan desakan itu membuatkan anak muda ini berhijrah ke Kuala Lumpur dari kampung halamannya untuk mencari penyelesaiannya.
Meskipun sinopsis filem ini ringkas dan perjalanannya tampak bersahaja, Jalan Pintas sebenarnya menyelongkar di sebalik Bakar yang luarannya hanya pemuda biasa namun dengan menelusuri perjalanannya dari pagi hinggalah ke petang dalam percubaannya mencari pekerjaan, Bakar adalah mangsa delusi Kuala Lumpur yang terperangkap antara harapan dan beban hingga akhirnya angan-angan dan impiannya berubah menjadi dendam.
Sementara itu, Faisal Mustaffa selaku penerbit menambah yang kesemua tenaga produksi bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk meletak Jalan Pintas jauh ke depan.
"Saya bersyukur kerana filem ini diterima di peringkat antarabangsa sungguhpun ia adalah filem pertama terbitan saya dan Rumah Anak Teater. Saya juga berharap agar filem ini dapat diterima oleh penonton tempatan sekiranya ia ditayangkan di pawagam kelak," katanya yang turut mengakui Jalan Pintas bakal ditayangkan di Festival Filem Torino, Itali tidak lama lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan