Amanda Imani terpilih menerusi WAFA mewakili Malaysia ke Universong: The Canary Island International Song Festival di Sepanyol pertengahan Julai 2012.

"Saya bergelut untuk membuktikan kemampuan saya. Tapi saya tidak terdesak untuk dikenali dengan terlalu pantas. Saya sendiri tak menjangka diri ini boleh meletup pada tahun pertama. Soal untuk menyinar atau tuah itu semuanya berbalik kepada rezeki.

"Tempoh permulaan ini saya jadikan sebagai azimat dan pengalaman untuk menjadi lebih baik. Saya juga mahu buktikan diri ini bukan sekadar penyanyi tetapi sebagai penulis lagu. Jadi tempoh ini saya jadikan ruang untuk belajar menjadi lebih baik. Ia sebagai fasa saya melihat tahap progresif. Apa yang terjadi termasuk kontroversi lebih membuatkan saya jadi kuat dan matang. Ia sebagai cabaran untuk saya terus berusaha," katanya yang akan ke Sepanyol pada 18 hingga 22 Julai ini.

Amanda Imani


Pada pertandingan itu juga, Amanda akan bersaing dengan 20 lagi peserta dari serata negara. Hanya dua saja negara Asia yang bertanding. Selain Amanda, Asia turut mewakilkan Thailand. Amanda akan menyanyikan lagu Jatuh Cinta yang dimuatkan dalam album sulungnya.

"Saya berterima kasih atas sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Malam kemuncak pertandingan pada 21 Julai dan saya turut mendapat tajaan pereka Ashley," katanya yang turut dikenali menerusi lagu Cemburu hasil sentuhan Malique.

Dalam perkembangan lain, Amanda dalam proses mengeluarkan single terbaru berentak balada berjudul Fobia Cinta. Lagu itu diciptanya sendiri. Setakat ini sudah 20 lagu diciptanya. Single berkenaan dijangka menemui peminat selepas Aidilfitri. Dia juga akan menamatkan pengajian di Kolej Segi dalam Ijazah Psikologi dan Komunikasi pada tahun ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top