
DIKERUMUNI… Para setiausaha berpusu-pusu mengerumuni Anuar Zain.
SIAPA sangka dalam usia yang telah melepasi angka 40, penyanyi yang sinonim dengan lagu Kain Pelikat, Anuar Zain masih lagi mampu ‘merasuk’ para setiausaha yang hadir pada majlis makan tengahari sempena Minggu Setiausaha anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) Darby Park baru-baru ini.
Kemunculan Anuar yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh para setiausaha pada petang itu disambut dengan sorakan seolah-olah hadirin dirasuk oleh panahan aura penyanyi lagu Keabadian Cinta itu.
Setiap baris lirik yang dilontarkannya disambut dengan sorakan oleh hampir 1,000 setiausaha yang memenuhi Dewan Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara pada petang itu.
Dalam kesempatan itu, Anuar mendendangkan 11 buah lagu popularnya seperti Permata, Keabadian Cinta, Bila Resah dan tidak ketinggalan, lagu barunya Sedetik Cinta.
Bagaikan berada di sebuah konsert bintang ternama dunia, suasana SDCC bertukar menjadi lebih gamat apabila penonton berdiri sambil mengikut nyanyian Anuar.
” Saya sendiri terkejut dengan reaksi penonton. Tidak sangka mereka terlalu bersungguh dalam menghayati persembahan saya.
” Ini adalah sambutan yang terbaik jika dibandingkan dengan sambutan penonton sepanjang saya menghiburkan para setiausaha di tahun-tahun lalu,” kata Anuar dalam sidang akhbar selepas persembahan satu jam setengah itu.
Bukan sahaja peminat bersungguh merakam persembahan Anuar melalui telefon bimbit, adik kepada penyanyi bersuara lantang Zaina Zain itu turut sama mengambil kesempatan merakamkan gelagat para penonton melalui iPhone 4 miliknya.
‘Kegilaan’ para setiausaha semakin memuncak apabila Anuar melangkah turun dari pentas sambil mendendangkan lagu Lelaki Ini.
Bagaimanapun Anuar sempat berpesan kepada hadirin agar mengawal diri mereka bagi mengelakkan daripada tindakan fanatik yang boleh menimbulkan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu.
Umpama pucuk dicita ulam mendatang, kehadiran Anuar di bawah pentas adalah detik yang amat dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya.
Semakin galak cahaya flash kamera apabila kesemua mereka ingin mengabadikan kenangan bersama Anuar petang itu tidak melepaskan peluang bergambar dengan penyanyi lelaki yang masih bujang itu.
Bukan setakat menghiburkan, Anuar sempat mengusik peminatnya dengan jenaka-jenaka spontan yang membuatkan SDCC bergema dengan gelak tawa para setiausaha.
Persembahan Anuar pada petang itu bukan hanya memukau para peminatnya bahkan berjaya menarik perhatian penganjur majlis.
Bagi pihak PNB Darby Park, persembahan Anuar petang itu merupakan yang terbaik sepanjang mereka menganjurkan persembahan Minggu Setiausaha.
Kemunculan Fahrin Ahmad yang bertindak sebagai pengacara majlis dilihat menambahkan lagi rencah kerancakan petang itu.
Gandingan Anuar sebagai penghibur dan Fahrin selaku pengacara, merupakan satu gandingan mantap yang berjaya meresap ke minda para setiausaha yang hadir pada majlis yang julung kali diadakan oleh Anuar Zain bersama PNB Darby Park itu.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan