Ratnah merupakan peserta yang mendapat markah tercorot berbanding dua lagi peserta Kumpulan A iaitu Ayish dan Shiha. Pada konsert minggu pertama pada 3 April lalu, Ratnah cuma mendapat 40 markah berbanding Shiha (64 markah) dan Ayish (43 markah).

Konsert minggu kedua Kumpulan A pada 10 April lalu, Ratnah atau Ratnah Awal sekali lagi ketinggalan apabila hanya mendapat 38 markah berbanding Shiha (63 markah) dan Ayish (60 markah). Bagaimanapun, Ahad lalu Ratnah menunjukkan prestasi cemerlang apabila bangkit mendahului dua pesaingnya itu daripada segi pemarkahan.


Pada konsert minggu ketiga dalam Kumpulan A itu, peserta berasal dari Ampang, Selangor itu mendapat 76 markah berbanding Shiha (63) dan Ayish (45) selain mendapat 20 peratus undian para juri awam. Sementara Shiha mendapat 19 markah dan Ayish (15) bagi kategori pemarkahan tersebut.

Menurut mentor Ratnah, Afdlin Shauki, dia berasa puas dengan pencapaian itu selain berbaloi kerana mengambil Siti Hajar sebagai guru vokal Ratnah sehingga mampu melonjakkan mutu vokal serta persembahan protegenya pada konsert tersebut.

"Perkara yang perlu diberi perhatian ialah vokal Ratnah. Daripada segi tarian dan persembahan dia tidak ada masalah kerana dia merupakan seorang penari. Itu sebab saya perlu cari orang seperti Siti Hajar. Mungkin apa yang saya cuba terangkan Ratnah tidak boleh faham. Dalam hal ini, Siti Hajar mampu memberinya kefahaman tentang vokal," katanya selepas Konsert Minggu ketiga Mentor musim kelima (Mentor 5) di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ratnah yang merupakan penari sambilan dan bekas penari kumpulan One Nation Emcees berkata, langkahnya dan Afdlin melantik Siti Hajar sebagai guru vokalnya tepat pada masa di saat dia amat memerlukan tunjuk ajar bagi mempertingkatkan lagi mutu nyanyiannya pada pertandingan yang masuk tahun kelima itu.

"Walaupun masa untuk berlatih vokal dan persembahan konsert ini tidak cukup tetapi saya sedaya upaya mempraktikkan apa yang telah diajarkan oleh Siti Hajar. Setakat ini sudah hampir satu minggu saya berlatih vokal dengannya. Mutu vokal saya sangat lemah. Sebab itu saya perlu ada guru vokal sendiri," ujar peserta berusia 28 tahun ini.

Peningkatan mutu vokal Ratnah bukan sahaja mendapat perhatian para juri awam dan penonton di rumah, malah pengkritik tetap Mentor 5, Datuk Ramli MS dan pengkritik undangan Cat Farish juga mengakuinya pada persembahan malam tersebut.

"Persembahan anda pada malam ini sungguh berbeza daripada dua minggu sebelum ini. Saya harap kamu dapat kejar kedudukan pada minggu ini. Kamu cuma hilang fokus semasa menyanyikan lagu kedua," komen Ramli yang julung-julung kalinya ditampilkan sebagai pengkritik tetap Mentor 5 yang menyediakan permarkahan 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas para penonton dan 20 peratus daripada juri awam di studio.

Ratnah yang tampil menyanyikan lagu Kesal yang dipopularkan oleh Ella dan Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela) dengan gaya persembahannya yang berlatarbelakangkan prob filem Pontianak Vs Orang Minyak berjaya mendapat perhatian ramai.

Ekoran peningkatan persembahan Ratnah itu, Datuk Sharifah Aini dan protegenya iaitu Shiha antara yang menjadi tumpuan ramai kerana sebelum ini dua minggu berturut-turut berada di tangga teratas markah keseluruhan dalam Kumpulan A.

Jelasnya, beliau akur dengan keputusan itu kerana adat bertanding, ada yang menang dan kalah. Malah, beliau juga menyedari setiap penerimaan para penonton juga bersifat subjektif di mana ia berdasarkan penerimaan dan citarasa masing-masing.

"Sejak latihan lagi saya sudah nampak peningkatan Ratnah itu. Dalam hal ini kita tidak dapat puaskan hati semua orang," komennya selepas konsert tersebut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top