Papa Rock gegar Dewan Merdeka

Oleh HASNURUL MOHAMED
Gambar IZHAM JAAFAR


hi 02.1

RAMLI Sarip sudah bersedia untuk menghiburkan para setiausaha pada 20 dan 21 April ini.



PASTI bergegar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 20 dan 21 April ini dengan suara Papa Rock, Ramli Sarip yang akan membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha.

Bukanlah sesuatu yang baru bagi ikon rock itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

Namun di pentas Dewan Merdeka, inilah kali pertama ikon kesayangan ramai itu dipilih oleh pihak penganjur untuk menghiburkan golongan profesional di dewan tersebut.

Sebagaimana janji yang lazimnya diucapkan oleh setiap artis yang bakal mengadakan persembahan pada bulan setiausaha (April), Ramli, 59, juga membuat janji yang serupa.

Cuma apabila ditebak dengan soalan, apakah dia akan muncul dengan gimik pada hari persembahan kelak?

Jawap Papa Rock itu, “Saya ada banyak himpunan lagu-lagu yang mesra telinga peminat. Jadi, rasanya tidak perlu gimik pada hari itu nanti.

Terus diminati

“Persediaan awal, saya ada lebih 20 lagu popular yang dipetik daripada tujuh album ketika bersama kumpulan Sweet Charity dan 12 album saya secara solo.

“Lagu-lagu wajib didengar pasti akan saya nyanyian nanti,” kata Ramli yang merujuk kepada lagu Teratai, Bukan Kerana Nama dan Kamelia yang selalunya mendapat permintaan tinggi daripada peminat.

Begitulah jawapan Ramli ketika menjawab soalan daripada wartawan hiburan yang hadir pada majlis sidang akhbar bagi mengumumkan persembahan Secretaries’ Special – Day break entertainment with Ramli Sarip, baru-baru ini.

Majlis sidang akhbar yang dikendalikan oleh Dee, turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Maxson Abdullah H. Jaafar dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi, Fadzilah Said.

Kata Ramli, tema persembahannya ialah setiausaha adalah bos, bukan majikan yang jadi bos.

Justeru jelasnya, dia mahukan setiap hadirin yang menyaksikan persembahannya merasa Ramli amat dekat di hati mereka.

“Nyanyian saya khas untuk para setiausaha yang hadir bagi menikmati makan tengah hari. Jadi, saya akan selang selikan dengan lagu-lagu Inggeris.

“Antaranya, You’re So Beautiful yang dipopularkan oleh Joe Crocker.

“Selain itu, lagu Rod Steward dan juga Bryan Adams juga termasuk dalam senarai lagu yang akan diiringi oleh pemuzik seperti gitaris Man Kidal dan Ajai,” katanya.

Sementara itu, Maxson Abdullah memberitahu, sudah lima tahun PWTC tidak mengundang artis untuk mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

Kini katanya, sudah tiba masanya PWTC membawa kembali persembahan artis sebagai tanda penghargaan ke atas setiap setiausaha.

“Kami memilih Ramli Sarip untuk persembahan sempena Minggu Setiausaha kerana dia merupakan ikon dalam industri hiburan tanah air.

“Lagipun pihak kami percaya lagu-lagu dendangan Ramli masih terus diminati bukan sahaja oleh peminat zaman Sweet Charity tetapi juga di kalangan generasi muda hari ini,” katanya yang juga merupakan peminat nombor satu Papa Rock.

Menurut Maxson, tiga bulan lalu ketika melihat persembahan Ramli di Filharmonik Petronas, ia amat menghiburkan.

Oleh itu katanya, Ramli sepatutnya mengadakan satu persembahan di Dewan Merdeka kerana berpendapat insan seni itu seorang yang serba boleh.

“Dia boleh menyanyi dalam apa sahaja bahasa kerana dia seorang penghibur yang versatil,” katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top