BARANGKALI ramai pihak media tempatan dapat menghidu berita pelakon yang sering dilanda kontroversi, Faezah Elai bakal menamat�kan zaman bujangnya pada tahun ini. Bagaimanapun pelakon berbakat besar yang pernah digosipkan dengan seorang pengarah drama tempatan, nampaknya lebih suka mengunci mulutnya setiap kali ditanya siapakah calon suaminya itu.

"Sebenarnya, kami mula berkenalan pada tahun lalu dan terus rapat, sejak itu. Biarlah ada orang buat persepsi dan menuduh saya perampas suami orang kebelakangan ini kerana saya tidak peduli dengan cakap-cakap negatif orang di luar sana. Kami percaya, kebenaran akan terserlah juga nanti.

"Minta maaf, saya memang tidak dapat mendedahkan siapakah calon suami saya demi menjaga hati kedua belah pihak. Maklumlah, terlalu banyak hati yang perlu dijaga demi kebahagiaan keluarga kedua belah pihak," kata pelakon watak tomboy dalam filem komedi Cun! ini.

Jika diukur daripada usia yang sudah mencecah usia 29 tahun, Faezah akui dia memang sudah layak untuk melangkah ke fasa perkahwinan.


"Saya juga sudah bersedia mental dan fizikal untuk mendirikan rumah tangga. Nampaknya seru saya sudah sampai untuk berkahwin. Kami juga merancang ingin terus kahwin tanpa bertunang terlebih dulu kerana tempoh bertunang memang banyak dugaan.


"Apa yang penting, hubungan cinta kami mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak. Si dia juga sudah berjumpa keluarga saya dan mereka menerimanya dengan baik.

"Begitu juga keluarganya yang menerima saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga baru mereka. Kami berdoa semoga rumah tangga yang bakal kami bina akan berkekalan hingga ke akhir hayat," katanya.

Apapun, kata Faezah, dia turut mengundang pihak media tempatan untuk membuat liputan pada hari bersejarah�nya nanti.

"Saya tidak akan menyorokkan berita baik seperti mendirikan masjid daripada pengetahuan pihak media yang menyokong karier seni selama ini. Malah, saya merancang untuk mengedarkan kad undangan perkahwinan kepada pihak media bila sampai masanya nanti," katanya.

Mengulas lanjut, mengenai majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pula, kata Faezah, dia juga merancang majlis yang sederhana saja di kampung halamannya di Pulau Pinang.

"Saya tidak mahu bebankan keluarga sebelah bakal suami untuk mengadakan perkahwinan secara besar-besaran kerana yang penting kami buat perkara yang dituntut agama Islam terlebih dulu.

"Terus terang, saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan pengarah drama dan filem walaupun selalu dikaitkan dengan cerita kontroversi. Pada masa sama, saya juga tidak menang tangan menerima tawaran berlakon ketika ini," katanya.

Pada sesi fotografi yang diatur RAP di Studio Balai Berita, baru-baru ini, Faezah turut digandingkan dengan Zahiril Adzim yang membawa watak Arman dalam filem terbaru mereka, Senjakala.

Faezah melakonkan watak pembantu dalam filem genre romantik seram arahan Ahmad Idham itu yang turut menampil�kan Liyana Jasmay.

Dalam Senjakala, Faezah memegang peranan sebagai Isabella yang juga kawan baik Karlisa (Liyana Jasmay).

"Isabella seorang gadis bandar yang tidak percaya kepada ilmu saka. Dia juga tidak pandai menyesuaikan diri dan berpakaian seksi apabila pulang ke kampung sehinggalah dirasuk di sana.

"Pada mulanya, saya bimbang untuk lakon cerita hantu kerana saya sangat penakut. Namun saya terima juga tawaran Ahmad Idham kerana cerita ini ada kelainan dan pada masa sama saya tidak pernah buat cerita hantu. Penggambaran filem ini juga dibuat pada Ramadan lalu," katanya.

Selain Senjakala, Faezah berlakon dalam Tolong Awek�ku Pontianak, Cinta Ekstra dan banyak lagi.

Beralih kepada Zahiril, 27, yang menempa nama menerusi filem Kami, dia akan mengikat tali pertunangan dengan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) yang turut menjadi pelakon iaitu Shera Aiyob, 25, tidak lama lagi.

"Kami sudah berkawan rapat selama lapan bulan dan bersedia untuk melangkah
ke alam rumah tangga. Saya pilih Shera dan percaya dia calon terbaik untuk menjadi isteri saya. Shera adalah seorang yang ringkas dan tidak suka mengongkong kerana dia faham karier saya sebagai pelakon.

"Apatah lagi, hubungan cinta kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak. Mengikut perancangan, majlis pertunangan akan berlangsung di rumah keluarga Shera di Ipoh, Perak manakala, majlis resepsi berkonsepkan perkahwinan dalam taman akan dibuat di Kuala Lumpur.

"Kami juga tidak akan bertunang lama-lama sebaliknya majlis perkahwinan juga dijangka berlangsung pada tahun ini juga," kata anak kelahiran Taiping, Perak dan menetap di Petaling Jaya ini.

Akui Zahiril, 27, dia juga tidak bimbang untuk mendirikan rumah tangga pada usia agak muda.

"Saya juga mendapat tips daripada rakan-rakan yang berkahwin pada usia muda dan ia menambahkan keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan," katanya.

Mengenai karier lakonan pula, kata Zahiril, watak Arman yang dilakonkan dalam filem Senjakala sangat mencabar kredibilitinya.

"Ini cerita percintaan yang dikelilingi babak seram kerana karakter Arman adalah lelaki yang membela saka dan orang tidak boleh memandang ke arah matanya. Pada masa sama, ia juga kali pertama saya menimba pengalaman berlakon dalam filem seram.

"Saya sudah berusaha yang terbaik mengikut kemampuan dan kini, saya serahkan kepada peminat untuk menilai filem ini yang akan ditayangkan pada 14 April ini," katanya.

PROFIL

NAMA: Noor Faezah Elai
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982
USIA: 28 tahun
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK:Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
HOBI: Mendengar muzik
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
FILEM: Otai, Adik Manja Returns, Cun, Awekku Pontianak, Senjakala dan Mantera.
DRAMA: Antaranya, Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri, Sutera Maya, Hartamas, Anak Mamak Menantu Mami, Dendam Kesumat, Asmara.
IKLAN: Antaranya Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom
HOS RANCANGAN: Antaranya Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro), Hypermarket Saga (TV9), Seri (TV3)
PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People bagi majalah Female.

PROFIL

NAMA: Mohd Zahiril Adzim Mohd Mukhtar
NAMA KOMERSIL: Zahiril Adzim
USIA: 27 tahun
TARIKH LAHIR: 23 Januari 1984
TEMPAT LAHIR : Taiping, Perak
PENDIDIKAN: Diploma Teater (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan)
FILEM: KAMI The Movie, Karaoke, Gadoh, Ada Sesuatu Yang Tertinggal, KLIP3GP, Tolong Awek Ku Pontianak, Senjakala, Bunohan
DRAMA: Merah Puteh, Ghost 2, Jidin, ABAM, Waris, 100 Harijadi, 6 Progresif, Juvana.
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Festival Filem Malaysia ke-22), Breakout Artiste of The Year (Klue Magazine)

Solekan Faezah Elai & Zahiril Adzim : Jamal Mohd Caring Colours dari Revell
Busana Faezah: Koleksi Safura Azali (safura.azali@gmail.com)/safuraazali.blogspot.com – 012 2925073)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top