Juara program Akademi Fantasia 8 (AF8), Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, turut mula merasai bahang saingan AF9 yang kini membuka tirai.

Secara peribadi jejaka kelahiran Ipoh, Perak ini mula terbayangkan debaran program itu kerana dia sendiri pernah melaluinya dulu.


Apatah lagi sejak dihebahkan ia sebagai program musim terakhir dan kehadiran semula pengacara asal Aznil Nawawi sebagai perantara utama.

Walaupun tidak dapat menyaksikan sepenuhnya persembahan peserta pada konsert pembukaan, Shahir menjangkakan saingan sengit daripada peserta yang bertanding kali ini. "Pada saya apa juga yang membabitkan program realiti TV sukar kita ramalkan memandangkan ada sesetengah pelajar 'lambat panas' atau kurang menyerlah pada peringkat awal persembahan. Namun tiba-tiba saja ada menyerlah pada pertengahan program dan inilah antara kejutan AF.

"Konsert pertama memang masih belum boleh dinilai kemampuan seseorang peserta. Saya tahu masing-masing ada aura tersendiri.


"Apa yang lebih penting saya sudah mula dapat rasakan demam AF9. Konsert pembuka tirai dengan kehadiran Pak Nil sebagai pengacara nampak segar dan meriah. "Saya harap AF9 dapat memberi impak yang kuat buat peminat dan dunia seni tanah air dan negara jiran," kata Shahir yang kini melebarkan sayap ke layar perak pula menerusi filem seram, Karak terbitan KRU Studios.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan pemuda yang popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan memaklumkan dia tidak mempunyai rahsia sebaliknya kerja keras yang berterusan dalam bidang seni membolehkan dia berada pada tahap ini.


"Memang saya tiada apa-apa rahsia. Cuma saya sentiasa berpegang kepada pesanan Pengetua AF8 dulu, Norman Abdul Halim iaitu mesti sentiasa menunjukkan peningkatan dalam setiap konsert mingguan. Jangan lekas putus asa kerana setiap tugasan yang diberi ada kebaikannya.

"Sekurang-kurangnya peningkatan berkenaan memberikan impak pada persembahan saya sehingga ke final. Seperti juga kehidupan yang kita lalui. Pastinya kita mahu kehidupan hari ini yang lebih baik daripada semalam bukan?" katanya.

Tambah Shahir, program AF adalah platform yang terbaik buat bakat-bakat baru untuk menyerlah dalam dunia seni. Justeru setiap peserta perlu memanfaatkan peluang dan masa yang diberikan sebaik mungkin untuk mendalami ilmu dan mengasah bakat daripada tenaga pengajar termasuk pengetua yang dilantik. "Saya bangga melihat rakan juara lain seperti Mawi, Stacy, Vince dan Mila yang semakin berjaya dengan kerjaya masing-masing," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top