Wanita diberi jolokan Orkid Besi oleh majalah Times satu ketika dulu, terpaksa mengorbankan perkara paling berharga dalam dirinya yakni suami dan anak tercinta.
Walaupun The Lady mengisahkan kehidupan Do Su (panggilan untuk Suu Kyi), ia sebenarnya bukan biografi lengkap. Penonton hanya diberi sedikit kisah kehidupannya bergelar kanak-kanak melalui babak lambaian terakhir seorang bapa kepada anaknya sebelum dibunuh kejam kumpulan gerila.
Aksi sebenarnya bermula pada 1988 ketika usia 40-an dan kembali ke Burma (Myanmar) untuk melawat ibunya yang sakit selepas tinggal di England dan berkahwin dengan Michael Aris, profesor di Universiti Oxford.
Daripada situ, bermulalah perjalanan penuh heroisme Do Su yang terpaksa menggalas tugas sebagai pemimpin dan penggerak usaha demokrasi dengan menubuhkan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) di negaranya sehingga menang majoriti dalam pilihan raya 1990.
Malangnya, keputusan itu dihalang pihak tentera yang secara terang mahu menguasai negara dengan cara mereka. Lantas Do Su diserang dengan cara psikologi daripada pelbagai sudut.
Sejak itu, penonton terus dihambat dengan rasa sedih dan bersemangat sehingga ada mungkin menitiskan air mata.
Satu persatu kejayaan Do Su ditonjolkan dengan penuh gaya, termasuk dianugerahkan Nobel Keamanan. Tanpa perlu durasi lama untuk satu babak, penonton dibawa dalam pengembaraan mendalami isi hati seorang wanita yang sebenarnya di persimpangan dilema. Ibarat pepatah 'ditelan mati emak, diluah mati bapak'.
Tidak perlu bercerita secara terperinci apa berlaku dalam setiap babak, sebaliknya mahu penonton merasai pengembaraan rasa yang dicetuskan pemegang watak The Lady, Datuk Michelle Yeoh.
Michelle ternyata berjaya mengemudi jiwa Do Su, malah tatkala hampir dua jam menyaksikan perjalanan kisah wanita itu, dapat dilihat aktres berasal dari Ipoh, Perak itu bukan lagi Michelle, sebaliknya Do Su.
Daripada gaya berjalan, postur, tertib dan kelembutan lambaian serta pertuturan kepada pengikutnya, seolah-olah Do Su melakonkan sendiri kisah hidupnya.
Sekalung tahniah kepada pengarah Luc Besson yang berjaya menjentik hati penonton melalui gaya pengarahan yang menyentuh jiwa. Ditambah dengan babak penting yang kena dengan waktunya serta muzik latar yang mengusik jiwa, The Lady bakal menjadi filem ikon setanding kebanyakan filem biografi lain seperti Edgar, The Queen, Milk mahupun Malcom X.
Walaupun ada cacat cela, terutama lakonan beberapa pelakon tambahan yang dilihat kurang 'memberi', itu bukan alasan untuk The Lady berjaya di mata masyarakat tempatan.
Yang penting, intipati filem ini wajib diambil iktibar golongan muda yang mungkin semakin hilang arah dan cara dalam usaha menegakkan keadilan dengan cara lebih mulia.
FILEM: The Lady
ARAHAN: Luc Besson
PELAKON: Michelle Yeoh, David Thewlis and Jonathan Raggett
GENRE: Drama biografi
TAYANGAN: 3 Mei 2012
Ulasan Amirul Haswendy Ashari
Trailer The Lady
0 ulasan:
Catat Ulasan