Perubahan itulah yang berlaku dalam hidup Remy Asmara yang bekerja di hospital sebagai paramedik dan selalu dibuli namun tidak pernah melawan. Secara tidak sengaja dia menyelamatkan nyawa seorang gengster dan bermula dari situlah hidupnya berubah.
Inilah antara paparan menarik dalam filem Kisah Paling Gangster (KPG) terbitan B&L Kreatif Sdn Bhd arahan Brando Lee. Mempertaruhkan Shaheizy Sam sebagai tunjang utama, KPG yang juga filem aksi pertama produksi itu, menjanjikan debaran yang tinggi kerana menyelitkan banyak aksi ngeri.
Bagaimanapun, Brando yang juga produser bagi filem yang bakal diedarkan Metrowealth Pictures (MIG) ini, menafikan KPG adalah kisah sambungan bagi mana-mana filem aksi lakonan Sam yang pernah menjayakan filem Evolusi KL Dritf 2, Kongsi dan juga Bini-biniku Gangster.
Brando berharap, orang tidak salah sangka kerana jalan cerita dan watak yang dipegang Sam dalam filem ini berlainan dengan watak-wataknya sebelum ini.
Malah pengarah filem Aku tak Bodoh dan Chow Kit yang bakal ditayangkan di pawagam 3 Mei ini mengakui KPG lebih berat jika dibandingkan dengan filem yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Mendapat ilham daripada kisah gengster dan jalan cerita daripada filem-filem terbitan Jepun dan Korea, Brando cuba mencari kelainan dengan menggabungkan elemen aksi dari kedua-dua negara itu tetapi masih diadun dengan kesesuaian untuk penonton tempatan.
"Saya mengambil masa yang agak lama bagi menghasilkan filem ini kerana banyak berbincang dengan penulis skrip untuk dan melakukan banyak rombakan bagi memastikan jalan cerita benar-benar mantap. Sebelum memulakan penggambaran, sekali atau dua kali seminggu kami berbincang untuk mengembangkan cerita.
"Ketika proses menyiapkan skrip yang mengambil masa selama tiga bulan, saya juga sudah dapat melihat visual perjalanan ceritanya dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencari kawasan bagi proses penggambaran," katanya yang mengambil masa 23 hari untuk penggambaran KPG.
Memilih lokasi di sekitar Lembah Klang, Sungai Buloh dan Bandar Puteri, Puchong, Brando mengakui ia sangat sesuai bagi menghidupkan lagi suasana dan memberikan impak menarik bagi beberapa babak aksi.
Katanya, ini juga kali pertama dia bekerjasama dengan Sam dan pelakon lain seperti Mikael Andre dan Wawa Zainal. Katanya, tiada masalah bekerja dengan mereka kerana semuanya sangat komited.
Penggambaran babak terakhir yang dilakukan antara deretan kedai di Bandar Puteri, Puchong. Membabitkan dua kereta BMW yang terbalik, babak itu sangat bahaya dan risiko kecederaan sangat tinggi apatah lagi lorong itu sangat sempit. Namun, kerana keyakinan pelakon lagak ngeri untuk membuatkan aksi itu sangat tinggi, Brando setuju untuk meneruskan babak itu.
"Selalunya, babak membabitkan keadaan seperti kereta terbalik dilakukan di kawasan lapang tetapi saya memilih untuk menjalankan penggambaran antara deretan kedai bagi memberikan kepuasan pada penggemar filem aksi.
"Pada mulanya, saya sendiri takut dan tidak yakin mampu melakukannya tetapi apabila pelagak ngeri menunjukkan keyakinan dan memberikan jaminan, saya pun bersetuju walaupun agak gementar kerana macam-macam perkara boleh terjadi," katanya.
Bagi pendatang baru, Nor Hafiezzah A Kadir atau Fyza Kader, filem ini agak berbeza dengan filem Seram Sejuk dan Nongkrong kerana terpaksa memberikan raut wajah dan perwatakan yang agak kasar.
Seorang yang lemah lembut, Fyza mengakui tiada masalah membawakan watak anak kepada ketua gengster. Walaupun mengalami kecederaan di bahagian dadanya, Fyza seronok menjalani penggambaran itu dan membuatkan semangatnya sangat berkobar-kobar.
"Memanglah sakit ketika jatuh tapi waktu sama puas sebab saya tidak pernah menjadi seorang yang lasak. Ini pertama kali saya bawa watak lasak sebab watak Sofea ini adalah anak gengster.
"Walaupun masih baru, pengarah dan Sam banyak membantu saya menjiwai watak Sofea apatah lagi melihat saya seorang yang agak lembut, mereka banyak memberi nasihat bagaimana untuk mempamerkan raut muka ganas," katanya.
Sam layan peminat walau penat di lokasi
BERILAH apa saja watak, Shaheizy Sam tidak pernah gagal memberi lakonan berbeza setiap kali kemunculannya sama ada drama atau filem. Kalau filem aksi, Sam mula dikenali melalui filem Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof dan menang Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).
Walaupun namanya popular melalui wataknya dalam Adnan Sempit, filem Kongsi arahan Farid Kamil pula menjadikan dirinya antara pelakon lasak dan bakal muncul dalam filem aksi 8 Jam tidak lama lagi.
Kata Sam, dia menyukai wataknya sebagai Remy Asmara kerana karakternya cukup mencabar dan memerlukannya bermain dengan emosi dalaman yang lebih banyak. Karakter itu berkembang dan tidak hanya berpaksikan pada satu sikap dari awal cerita hingga akhir.
"Dari aspek perkembangan karakter itu sendiri, peranan saya ada lapisan corak hidup yang perlu ditunjukkan. Ia mengisahkan Remy melalui pelbagai cabaran. Ia bukan tipikal gengster seperti yang pernah saya lakonkan sebelum ini
"Berbanding Evolusi KL Drift 2 dan Kongsi, wataknya hanya ada satu lapisan cerita dan tujuan. Kali ini, saya perlu bermain dengan banyak emosi dan fizikal. Watak ini seolah digambarkan ketika dia menyelamatkan nyawa, dia juga sanggup mengambil nyawa orang lain. Saya sendiri seronok apabila berpeluang melakukan babak lagak ngeri sendiri," katanya.
Sudah biasa dengan kecederaan ringan ketika melakonkan babak aksi, Sam menjelaskan pelakon lebih menjiwai watak seseorang itu apabila merasai sendiri kesakitan itu. Bagaimanapun katanya, tidaklah sampai mencederakan diri sendiri.
Bakal muncul dalam filem Nongkrong tidak lama lagi, Sam tidak kisah berkongsi cerita dengan peminat mengenai dirinya tetapi apabila membabitkan kisah peribadi, Sam tegas tidak mahu berkongsi atau menceritakan apa-apa.
Katanya, dia juga begitu menghargai sokongan peminatnya dan sebagai tanda terima kasihnya dia melayan mereka yang mahu bergambar dan meminta tandatangannya sebagai kenangan walau-pun ketika sibuk di lokasi penggambaran.
Sam juga memberikan poskad yang sudah ditandatanganinya kepada peminat agar memudahkan mereka menyimpannya dan tetap melayan dengan baik walaupun penat setelah sehari suntuk menjalani penggambaran.
"Walaupun penat, saya mahu melayan mereka sebaik mungkin kerana merekalah yang sentiasa menyokong kerjaya seni dan juga menjadi penonton setia semua filem lakonan saya.
"Tanpa mereka, saya mungkin tidak berada di tahap seperti sekarang ini. Itu adalah salah satu cara saya untuk memberikan penghargaan pada mereka. Tidak susah pun menyediakan poskad yang sudah saya tandatangani, semuanya untuk peminat," katanya masih mampu tersenyum manis.
Mempunyai perancangan menerbitkan filem dengan kakaknya, Zizie Ezette, Sam mengakui buat masa ini masih belum ada masa untuk menjalankan projek itu.
Katanya, sudah beberapa kali kakaknya bertanyakan hal itu tetapi dia sendiri tidak mahu berjanji kerana sibuk dan terikat dengan komitmen kerjanya.
"Saya sendiri tidak tahu bila projek itu akan direalisasikan apatah lagi dengan kesibukan menjalani penggambaran yang sangat padat. Kakak selalu bertanya perkara itu, cuma saya tidak mahu memberikan jawapan dan berjanji kerana takut apabila tiba masanya, saya tidak dapat memberikan komitmen.
"Walaupun ahli keluarga sendiri, saya tidak mahu menggunakan pertalian darah itu sebagai alasan untuk berjanji kemudian tiba-tiba sebab hal sendiri janji itu tidak dapat ditunaikan," katanya.
Oleh Hellinie Sina
0 ulasan:
Catat Ulasan