Datuk Shake akan menghiburkan setiausaha pada sambutan Minggu Setiausaha bertajuk A Serenade In The Sky Dato' Shake @ Menara Kuala Lumpur. Tiket melalui jualan meja berharga daripada RM5,000 hingga RM10,000 sudahpun mula dijual kepada umum.

Bapa kepada empat anak dan beberapa cucu yang telah berhijrah ke Paris, Perancis pada tahun 1974 kerana mahu menjadi penyanyi itu berkata, dia akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis pada persembahan keduanya di menara itu.


"Persembahan saya itu nanti berkonsepkan oh la la di mana selain menyanyi saya juga akan menari. Saya akan memfokuskan kepada lagu-lagu Melayu pada persembahan itu. Antara lagu wajib yang akan saya nyanyikan berjudul Ummi yang menjadi permintaan ramai peminat selama ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said berkata, pihaknya berasakan Shake antara penyanyi yang layak serta sesuai bagi menjayakan persembahan seperti Minggu Setiausaha kerana pengalaman luas penyanyi terbabit.

Malah katanya, ini merupakan kali kedua Shake dijemput mengadakan persembahan di Menara Kuala Lumpur selepas penyanyi yang fasih berbahasa Perancis ini menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Bapa di menara keenam tertinggi di dunia itu pada tahun 2001.

"Telah 11 tahun Datuk Shake tidak mengadakan persembahan di Menara Kuala Lumpur. Kami memilih beliau mengadakan persembahan di sini kerana imej serta reputasinya yang menonjol sebagai penyanyi dan mencipta nama sehingga di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Datuk turut membawa imej Malaysia pada nama yang beliau cipta itu, apatah lagi pada persembahan ini beliau akan membawakan banyak kelainan termasuklah persembahannya yang akna diiringi para pemuzik profesional seperti pemain dram, Luis Pragasam," jelasnya.

Hadir sama ialah Didie Alias selaku pengacara yang akan mengendalikan persembahan itu yang mampu memuatkan sekitar 300 penonton pada satu-satu masa. Sebarang pertanyaan atau pembelian meja persembahan itu sila hubungi talian 03-20205456 (Aishah / Zulfa).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top