Video The Cranberries Live in Kuala Lumpur

Tarian spontan dan selamba oleh vokalis, Dolores O’Riordan, antara detik paling menghiburkan kira-kira 8,000 peminat yang membanjiri Stadium Negara, Kuala Lumpur, kelmarin, apabila kumpulan The Cranberries muncul dalam konsert Live in Kuala Lumpur. Konsert dibawakan The WonderLand+ and Sevent Media ini bukan saja dipenuhi peminat tempatan, malah peminat dari luar negara juga tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan mereka. Nyata aura kumpulan ditunjangi Dolores, Noel Hogan (gitar), Mike Hogan (bes) dan Fergal Lawler (dram) ini begitu kuat, walaupun sudah lama tidak muncul dengan album baru.

Selepas berehat beberapa tahun, kumpulan dari Ireland itu kembali menghiburkan peminat sempena konsert jelajah dunia mereka, pada masa sama mempromosikan album keenam, Roses.

Meskipun jadual kumpulan yang ditubuhkan pada 1989 ini padat dengan persembahan di seluruh dunia, Dolores dan lima pemuzik iringannya tidak sedikit pun menunjukkan tanda penat, sebaliknya cukup bertenaga sejak awal persembahan hingga ke lagu terakhir.

Muncul di pentas kira-kira jam 8.40 malam, mereka memulakan persembahan dengan lagu Dreams, sekali gus Stadium Negara riuh dengan jeritan kegembiraan peminat.

Terus mengekalkan momentum, Dolores menyampaikan 22 lagu petikanalbum lama dan terbaru seperti Linger, Tomorrow, Wanted, Just My Imagination, Ode To My Family, Dreaming My Dreams, Animal Instinct, Desperate Andy, When You’re Gone, Waltzing Back dan Playboys. Disokong sistem bunyi yang baik membuatkan persembahan mereka jadi lebih hebat lagi. Sesekali Dolores berinteraksi bersama peminat dan mengucapkan terima kasih atas peluang diberikan, serta sambutan memberangsangkan yang diterima.

Peminat yang terhibur sesekali tertawa sendiri melihat aksi Dolores yang menari sambil menyanyi. Mana tidaknya, dengan memakai skirt pendek kembang (tutu), vokalis ini menggoyangkan pinggul seolaholah tiada siapa melihatnya. Dengan selamba dia menari dan berlari di atas pentas sambil menghayati lagu yang dibawa.

Tidak hanya menyanyi, Dolores juga sesekali menunjukkan kredibilitinya bermain gitar, menerusi lagu seperti Daffodil, Can’t Be With You, Free To Decide serta lagu barunya, Raining In My Heart. Seterusnya, The Cranberries tidak mengecewakan peminat dengan menyampaikan lagu popular mereka iaitu Zombie, lagu paling dinantikan peminat. Tanpa diminta, semua peminat berdiri dan bersama-sama melaungkan bait lirik lagu itu.

Ternyata lagu yang dikeluarkan pada 1994 itu menjadi tanda dagang buat kumpulan ini. Zombie juga pernah mengungguli kategori Lagu Terbaik pada MTV Europe Music Award 1995.

Sejurus lagu itu selesai dialunkan, The Cranberries menghilang diri dari pentas, seolaholah memberi petanda konsert ini sudah tamat.

Namun, enggan mengecewakan peminat, mereka kembali muncul dengan menyampaikan empat lagu tambahan termasuk Conduct, Losing My Mind dan Salvation. Lebih menarik, apabila Dolores keluar dari belakang pentas dengan pakaian unik berwarna jingga, menambahkan teriakan dan sahutan peminat.

Konsert The Cranberries Live in Kuala Lumpur yang berlangsung selama sejam 40 minit itu tentunya mengembalikan kegemilangan alunan akustik malar segar, secara tidak langsung membuktikan fasa terbaru karier The Cranberries kembali memuncak.

Sebelum ini, mereka menjelajah Australia sebelum mengunjungi Asia Tenggara bermula di Singapura pada 2 April, seterusnya ke Taipei (6 April) serta Hong Kong (8 April). Siri jelajah ini akan tamat di Manila pada 10 April sebelum The Cranberries kembali ke Eropah untuk menyambung siri jelajah berkenaan.

~ BH

Video Konsert The Cranberries Live in Kuala Lumpur




0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top