Pelakon Tasha Shila mencetuskan kontroversi apabila  ada mengatakan dia ditaja seorang duda berpangkat Datuk, dikenali dengan panggilan Datuk J.

Menurut dakwaan yang tersebar, Datuk J memberikan sejumlah wang kepada Tasha untuk membeli akhbar Berita Harian sehingga satu lori banyaknya, manakala ahli kelab peminat pelakon itu seramai 40 orang membantu untuk menguruskan undian buatnya.

Bukan itu saja, gadis berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu juga dikatakan menempah bas untuk peminatnya menyaksikan detik gemilang itu di Arena Of Stars, Genting Highlands bersama bilik penginapan. Pelakon itu turut membawa pengawal peribadi mengiringinya menghadiri majlis itu.

Tasha Shila

Tasha Shila memberi penjelasan terhadap isu tersebut:

“Bagi saya, kemenangan ini adalah rezeki. Sekali pun benar saya ditaja untuk membeli undi, tetapi sekiranya takdir tertulis bukan rezeki saya, pasti malam itu saya tidak akan menang.

“Banyak sangat nama Datuk yang dikaitkan dengan saya sebelum ini. Ada Datuk T, Datuk K dan sekarang Datuk J. Apa pula kaitannya Datuk hendak menaja saya. Itu semua tidak benar. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana Datuk dan inilah kenyataan sebenar.

“Tidak dinafikan, saya mengenali Datuk J yang dimaksudkan. Masalahnya, kami hanya kenalan biasa dan saya mengenalinya menerusi rakan artis juga. Kami pernah bertemu tetapi turut ditemani teman artis lain. Kami berbual dan bercakap seperti rakan lain. Tidak lebih daripada itu dan tidak pernah wujud perasaan cinta antara kami,” katanya.

Akui Tasha, sepanjang ABPBH2011 berlangsung, dia ada meraih undi dan waktu sama turut menghargai usaha kelab peminatnya, TS Team yang tidak putus-putus berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

“Saya bersyukur apabila dicalonkan dalam lima kategori popular dan hargai usaha dilakukan Berita Harian dalam menghargai insan seni baru seperti saya. Apabila sudah disenaraikan, pasti saya turut berusaha meraih undi dan TS Team turut melakukan ‘gerak gempur’ dengan mengundi saya. Saya rasa teman artis lain juga melakukan perkara sama.

“Selain itu, saya mengikuti hampir semua jelajah promosi yang diadakan ABPBH2011 dan ia saya gunakan sebagai medan untuk meraih undi peminat. Keluarga juga saudara mara turut membantu. Kebetulan ibu punya restoran dan mereka turut membantu mempromosikan nama saya kepada pengunjung supaya mengundi.

“Lebih daripada itu, saya tidak nafikan sewaktu bekerja sebagai promoter di Butik Prada, Pavillion, Bukit Bintang saya ada ramai kenalan dari orang biasa hinggalah yang berpangkat dan punya kedudukan.

“Mereka menjadi kenalan saya hingga sekarang. Pastinya apabila berhubung, saya meminta mereka menyokong kerjaya seni saya dengan me­ngundi saya,” katanya.

Mengenai bas dan bilik yang ditempah itu, kata Tasha, ia atas usaha kelab peminatnya dan sangat menghargai usaha mereka. Itu sebabnya Tasha mengambil peluang ke Genting Highlands menaiki bas bersama mereka serta meluangkan masa menghadiri jamuan ringkas TS Team selepas kemenangannya.

“Mengenai pengawal peribadi, perkara itu berlaku kerana salah anggap.

Sebenarnya, lelaki yang menjaga kawasan bilik di mana saya menginap itu bukan pengawal peribadi tetapi pemandu bas yang membawa rombongan saya ke Genting Highlands.

“Dia berasa terharu dengan layanan baik diberikan TS Team terhadapnya, apatah lagi dia seronok sepanjang bersama kami. Sebaik sampai, saya dan pembantu memintanya berehat di bilik tetapi dia secara sukarela mahu menjaga kami semua.

“Mungkin disebabkan itu, ada yang salah faham dengan menganggapnya pengawal peribadi saya. Dia juga sa­ngat terharu kerana dapat memegang trofi yang saya menangi,” kata Tasha.

~ metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top