Filem My Way mengisahkan dua pelari maraton, Kim Jun-Shik iaitu pemegang pingat emas Korea dan Hasegawa Tatsuo, pelari terpantas Jepun. Mereka bertemu sebagai musuh ketika zaman kecil dan saling menyaingi antara satu sama lain sehinggalah meningkat dewasa.
Setahun kemudian, Kim Jun-Shik dikerah menjadi tentera militan Jepun selepas dia dipersalahkan sewaktu pemilihan Olimpik Jepun. Takdir mereka tetap bersama apabila Tatsuo menjadi Kolonel dalam tentera Jepun. Mereka bersama-sama bertempur dalam Perang Dunia Kedua daripada mengenakan seragam Jepun kepada Kesatuan Soviet dan Jerman sebelum akhirnya sampai di Normandy, Perancis.
Walaupun masih bermusuh namun peperangan demi peperangan yang ditempuhi secara perlahan-lahan merobohkan tembok permusuhan antara dua pemuda berlainan negara ini.
Info Filem My Way
Hero filem My Way, Jang Dong-Gun yang memegang watak Kim Jun-Shik dan Joe Odagiri (Hasegawa Tatsuo) membuatkan kita mampu menonton My Way sehingga ke akhir cerita.
My Way bakal menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 19 April ini. Ia membongkar misteri seorang pemuda Korea yang satu-satunya menjadi tawanan perang berketurunan Asia terselamat selepas menempuh tiga peperangan besar membabitkan tentera Mongolia, Kesatuan Soviet dan tentera Jerman yang mengheret dirinya sejauh 12,000 kilometer meninggalkan kampung halaman.
Di bawah arahan Kang Je-Kyu, My Way mengangkat industri filem Korea kepada satu tahap yang dibanggakan dengan paparan perang segenap dunia termasuklah peristiwa pertempuran dahsyat di Normandy yang pernah diabadikan menerusi filem Hollywood, Saving Private Ryan.
Mempertaruhkan pelakon hebat Korea, Jang Dong-Gun, filem ini mencatatkan kutipan pecah panggung RM36 juta sewaktu tayangan di Korea pada Disember 2011. Manakala kutipan keseluruhan tayangan di pasaran antarabangsa menjangkau RM108.5 juta setakat ini.
My Way dibawa ke negara ini dengan kerjasama Knotty Ideas Sdn Bhd dan Alternate Pictures.
Fakta menarik mengenai pembinaan set filem itu, ia dibuat di atas tapak Saemangeum seluas 401 kilometer persegi untuk insiden Normandy, peperangan Soviet-Jerman dan pangkalan kem tawanan perang. Dua kereta kebal turut ditempah khas dari England yang menepati kriteria jenis kereta kebal zaman dulu selain lori, trak dan jip tentera Jepun, motosikal tentera Jerman serta kereta perisai.
Menggunakan seramai 16,668 pelakon tambahan, 2,000 unit pakaian seragam dan 57,500 butir peluru digunakan untuk babak peperangan. Bintang opera, Andrea Bocelli meminjamkan suaranya untuk lagu tema filem ini yang berjudul To Find My Way, ciptaan Lee Dong-Jun.
Menariknya, filem ini diinspirasikan melalui sekeping gambar yang memaparkan imej pemuda Asia yang berdiri di kalangan tawanan tentera Jerman semasa penaklukan tentera bersekutu di Normandy. Penemuan gambar dalam simpanan Arkib Negara Amerika Syarikat itu yang didedahkan semula menerusi rancangan dokumentari Korea menarik perhatian Kang Je-Kyu untuk menyelami maksud tersirat.
Pelakon hebat lain membintangi filem ini, aktres China terkenal, Fan Bing Bing dan pelakon berpengalaman Korea, Kim In-Kwon. Pengarah yang paling berpengaruh dalam industri perfileman Korea itu sekali lagi mempercayai bakat lakonan Jang Dong-Gun yang pernah membantu kejayaan besar filem arahan terdahulunya, Tae Guk Gi - The Brotherhood Of War.
Filem yang berjaya mencipta fenomena baru dalam genre filem perang di Korea itu berjaya menarik perhatian 12 juta penonton, sekali gus mencatat sejarah dalam era perfileman Korea.
Jelas Kang Je-Kyu, dia menggunakan tajuk My Way yang juga judul lagu dipopularkan oleh Frank Sinatra kerana filem itu adalah mengenai maraton dan impian.
"Tajuk My Way menunjukkan bagaimana Kim Jun-Shik terus mengharungi kehidupannya yang perit demi mencapai impian. Walaupun ada pihak yang mempersoalkannya namun saya tetap sukakan tajuk ini," katanya.
Jang Dong-Gun pula berkata, selepas Tae Guk Gi, dia tidak fikir akan ada filem perang sehebat itu lagi.
"Walaupun Kang Je-Kyu pernah beritahu saya mengenai rancangannya untuk menghasilkan filem garapan dari dokumentari namun masih timbul keraguan kerana dia sendiri tidak yakin untuk mengarahkannya.
"Saya pula, apabila tahu Kang Je-Kyu yang akan mengarahkan filem ini, terus saya bersetuju untuk terbabit dalam filem itu. My Way mencabar kemampuan saya untuk menyampaikan emosi yang dapat dihayati oleh orang Jepun tetapi Joe Odagiri banyak membantu saya.
"Dia pelakon hebat yang mendalami perwatakan dan juga serius melakukan kerjanya sebagai pelakon. Kami sangat serasi," katanya.
Manakala Joe Odagiri yang sememangnya pelari maraton sebenar di Jepun menyifatkan Jang Dong-Gun pelakon yang bagus.
"Dia sangat membantu ketika kami berlakon bersama. Saya dapat merasakan keserasian yang terjalin di antara kami. Jika saya wanita, pasti saya sudah jatuh hati padanya," guraunya.
Berpaksikan kepada peristiwa sejarah perang yang terjadi sekitar abad ke-20 yang membabitkan insiden Normandy, peperangan dahsyat antara tentera Soviet dan tentera Jerman serta kejadian perang yang membabitkan banyak nyawa terbunuh di Normandy menjadikan My Way berupaya untuk menarik perhatian penonton di seluruh pelusuk dunia.
Filem My Way berdurasi 143 minit ini juga memperlihatkan kemaraan filem Korea untuk berdiri sebaris dengan kehebatan filem perang Hollywood. Ini membuktikan penggunaan peralatan berteknologi tinggi dalam industri filem Korea semakin berkembang maju dengan hasil yang dikecapi melalui filem My Way di mana kesungguhan mereka mencipta set dan peralatan yang sama digunakan seperti zaman dulu untuk menampakkan keaslian suasana perang sebenar berdasarkan kajian yang dilakukan terlebih dulu.
Kata Jang Dong-Gun, filem ini tidak menunjukkan pihak mana yang salah dan mana yang benar. Filem ini sekadar menceritakan bagaimana seorang manusia yang tidak pernah melepaskan impiannya walaupun diuji dengan hebat ketika Perang Dunia Kedua. Kerana impiannya maka lahirlah kemaafan dan persefahaman. Filem ini menyentuh lumrah kehidupan manusia.
0 ulasan:
Catat Ulasan