Puteri Caroline yang berpasangan dengan mentornya, Ella berjaya memenangi Konsert pertama Kumpulan B Mentor 6. Persembahan vokal bertenaga dari mereka berdua telah berjaya memukau bukan sahaja seisi penonton di Auditorium MBSA tetapi juga penonton di rumah.
“Ella memang tak jangka akan menang malam ini. Ella cuma mahu Caroline buat yang terbaik. Malam ini Ella sengaja pilih lagu-lagu balada untuk tunjukkan kemampuan vokal Caroline. Masih banyak yang Caroline akan tampilkan selepas ini.“
Ketika ditanyakan adakah Caroline juga akan dibentuk menjadi penyanyi rock seperti beliau, Ella memberitahu, “Sebolehnya Ella nak Caroline jadi seorang yang versatil. Sebab itu setiap minggu kami akan tampilkan persembahan yang berlainan dan istimewa. Ella percaya dengan kemahuan dan usaha Caroline yang berterusan, dia akan menjadi lebih baik,“ ujar Ella lagi.
Menyifatkan anak didiknya sebagai seorang yang ‘unpredictable’, Ella turut membawa Caroline ke Singapura bagi turut sama menjayakan persembahannya di sana. Ketika ditanya GUA apa perasaan Caroline, gadis dari Kelantan ini menyatakan rasa gembiranya kerana dapat bersama mentor kesayangannya itu.
“Saya rasa gembira dan sangat menghargai peluang yang saya terima. Berkenaan persembahan malam ini, saya rasa saya belum lagi buat yang terbaik. Saya akan terus berusaha jadi yang lebih baik untuk konsert akan datang,“ jawab gadis berusia 20 tahun ini.
Caroline berjaya meraih markah keseluruhan sebanyak 71 markah sekaligus muncul juara konsert pertama kumpulan B. Beliau telah menyanyikan lagu "Cinta Di Hujung Jalan", nyanyian asal Agnes Monica dan melontarkan vokal yang cukup mantap bergandingan dengan mentornya menerusi lagu Ella sendiri iaitu "Rindu".
0 ulasan:
Catat Ulasan