Reen Juara Pilih Kasih musim akhir berminat untuk berlakon drama atau filem genre aksi.

"Kalau saya diberi pilihan untuk membintangi drama atau filem, saya ingin memilih genre aksi kerana saya rasa ia menyeronokkan dan mencabar."

Itu hasrat yang dinyatakan oleh pemenang Pilih Kasih musim ketiga (PK3), Reen Rahim selepas diangkat sebagai juara di pentas akhir yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

Reen Rahim Juara Pilih Kasih 3

Kata gadis berusia 24 yang berasal dari Selangor itu, sejak dia menyertai program realiti tersebut, banyak ilmu telah didedahkan kepadanya.

Namun bergelar juara tidak bermakna dia kini sudah menjadi pelakon yang hebat. Masih banyak lompang dan kelemahan yang perlu diperbaiki sebagai persiapan menjalani kehidupan sebagai anak seni.

"Bagi saya ini merupakan satu permulaaan untuk menyelusuri bidang seni lakonan dan bergelumang sebagai anak seni.

"PK3 adalah sebagai platform saya menonjolkan bakat kepada umum.

"Saya telah bersedia dan akan berusaha untuk menjadi pelakon terbaik pada masa depan," katanya ketika ditemui selepas menjuarai PK3.

Kejayaan merangkul kejuaraan PK3 membolehkan Reen membawa pulang wang tunai RM10,000, Sijil Simpanan Premium bernilai RM25,000, set barangan kemas bernilai RM12,000, hadiah iringan dan trofi.

Reen mendapat 17.75 peratus daripada 50 peratus undian yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 50 peratus markah menerusi pelakon dan penerbit program, Rosyam Nor.

Sementara tempat kedua pula dimenangi anak kelahiran Selangor, Hakim Yazid dengan memperolehi undian 17.38 peratus.

Anak kelahiran Sarawak, Marina Jose yang mempamerkan lakonan hebat pada malam itu berada di tempat ketiga memperolehi 16.02 peratus undian.

Hadiah Khas Pelakon Terbaik Telekom Malaysia (TM) pula dirangkul oleh Sora Sonjangi.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, walaupun ada di kalangan mereka yang mendapat peratusan tinggi secara undian namun beliau menganggap kesemua yang memasuki pentas akhir Pilih Kasih adalah juara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top