Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey Natasha pernah dikaitkan dengan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang menyebabkan dirinya menjadi kontroversi dan tidak semena-mena nama Leuniey terus dikenali.
Menurut gossip yang pernah tersebar, Leuniey dikatakan sanggup memilih untuk putus tunang gara-gara cintanya telah tersangkut dengan Khairul Fahmi atau Apek.
Hubungan mereka terus diperkatakan apabila kedua-duanya merupakan antara wajah yang terpilih dalam iklan komersial minyak wangi SimplySiti yang sudah pun ditayangkan di kaca televisyen.
Apabila mereka digandingkan, ia seperti menguatkan lagi gosip dan khabar angin yang mengatakan mereka sebenarnya pasangan kekasih seperti mana yang dicanang sebelum ini.
Namun Leuniey sekali lagi membuat penafian.
Dalam bicaranya yang penuh santun dan manis itu, Leuniey seboleh-bolehnya tidak mahu lagi cerita tersebut dijaja dan diperkatakan.
Sebaliknya kata gadis berusia 21 tahun ini, dia menerima tawaran daripada Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza adalah sebagai menghormati permintaan penyanyi tersohor negara itu.
Pada mulanya, apabila diberitahu bahawa Apek juga bakal terlibat dalam iklan tersebut, Leuniey hampir sahaja menolaknya kerana tidak mahu terbabit dalam sebarang kontroversi lagi.
Namun selepas diyakinkan oleh Siti Nurhaliza bahawa tiada babak yang menggandingkan dirinya dengan jejaka pujaan ramai itu, barulah Leuniey menerima tawaran tersebut.
Apatah lagi kata Leuniey, dia memikirkan bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan kerana dia sedar bahawa tiada apa yang hendak disorokkan memandangkan semua cerita sebelum itu tidak benar.
"Sudah berkali-kali saya menjelaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dia (Apek). Saya tidak mahu lagi cerita ini dibangkitkan. Bayangkan, saya sendiri tidak pernah bercakap, berkenalan mahupun mengambil gambar dengannya. Jadi, bagaimana pula kami ini dikatakan sebagai pasangan kekasih.
"Saya mahu melupakan cerita ini dan menumpukan perhatian kepada perniagaan dan bidang baru yang saya mahu ceburi ini," pintanya penuh diplomasi sambil berkali-kali memberitahu tidak mahu lagi kisah tersebut terus dijaja.
Sepanjang perbualan itu juga, Leuniey memberitahu dia enggan dan tidak mahu dilabelkan sebagai artis. Kontroversi yang datang tanpa diundang dan dia tidak bersedia untuk ke dunia penuh glamor itu meskipun begitu selesa untuk menjadi model yang terlibat dalam dunia pengiklanan baik komersial mahupun advertorial.
"Saya tahu bakat dan kemampuan diri saya sendiri. Kalau untuk menyanyi dan berlakon itu, memang bukan minat saya. Tidak pernah terfikir ke arah itu kerana sedar di mana kedudukan saya sebenar.
"Seperti iklan SimplySiti ini, salah satu faktor saya menerimanya juga adalah kerana ia mempamerkan bakat terpendam saya iaitu menari bukan untuk meraih populariti.
"Jadi, kalau selepas ini ada tawaran untuk iklan, saya akan menimbangkannya. Tetapi buat masa ini, saya selesa dan mahu fokus menguruskan butik pengantin saya di Kelantan," katanya dalam nada penuh rendah diri.
Mengulas tentang kepuasan terhadap hasil iklan komersial tersebut, sambil tersenyum Leuniey menjelaskan dia mengagumi hasilnya yang tidak pernah dibayangkannya.
Sementara itu, Apek yang ditemui pula berkata, dia sememangnya tidak tahu-menahu tentang penglibatan Leuniey dalam iklan tersebut.
Apa yang diberitahu kepadanya oleh pihak SimplySiti adalah tentang konsep dan jalan cerita iklan tersebut yang akan membabitkan seorang gadis misteri yang menggambarkan keperibadiannya menerusi tiga haruman minyak wangi SimplySiti.
Lalu apabila tiba di lokasi penggambaran, Apek tidak menafikan bahawa dia sedikit terkejut melihat kehadiran Leuniey.
Tetapi atas dasar profesionalisme, semuanya berjalan dalam keadaan baik dan mereka langsung tidak bertemu atau dipertemukan dalam apa jua situasi.
"Saya menerima tawaran ini juga adalah kerana Siti Nurhaliza. Memang tidak dinafikan memang sukar sekali untuk mengatur jadual. Apabila melihat kesungguhan Siti Nurhaliza dan SimplySiti, saya cuba mencari waktu yang sesuai. Lagipun penggambaran dilakukan dalam setengah hari sahaja, jadi ia bukanlah satu masalah.
"Alhamdulillah, saya mendapat sokongan daripada pengurus pasukan dan pemain yang lain. Ternyata mereka memahami karier saya sebagai duta atau model produk. Asalkan ia tidak mengganggu fokus saya sebagai pemain, semuanya baik-baik sahaja," jelas Apek yang berusia 23 tahun ini lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan