Kisah dongeng puteri cantik yang dikelilingi tujuh orang kerdil dan menjadi mangsa dengki si ibu tiri sehingga dikhianati dengan epal beracun tidak syak cerita zaman kanak-kanak yang kekal di ingatan sesiapa saja.
Cerita itu sendiri sudah acap kali diangkat ke layar lebar, sama ada dalam bentuk filem cereka ataupun animasi. Terbaru sutradara Rupert Sanders mengangkat kisah berkenaan sekali lagi ke filem, namun bukan sekadar episod dongeng fantasi, sebaliknya Snow White and The Huntsman hadir dalam bentuk aksi, epik dan pengembaraan yang menarik hati.
Hampir dua jam menonton filem lakonan Kristen Stewart, yang memegang watak Snow White, nyata ia filem yang penuh aksi dan sarat dengan misi menentang kejahatan dilakukan permaisuri syaitan, Charlize Theron.
Kekuatan filem ini dilihat cukup seimbang daripada penghayatan watak, olahan cerita dan dialog, di mana setiap peralihan babak membawa kepada perasaan tidak sabar dan mendebarkan, untuk menanti apa yang seterusnya bakal terjadi.
Pengarah bijak membawa kelainan dalam genre fantasi yang selama ini banyak terarah kepada khayalan semata-mata, dan memperincikan setiap sudut filem ini dalam mencuri emosi audien.
Sanders berjaya memperlihatkan bagaimana kekejaman permaisuri yang menggunakan ilmu hitam untuk mengekalkan kuasa dan kecantikan dirinya sehingga menyebabkan rakyat menderita, selain memaparkan kezaliman wanita itu yang sanggup menjadikan jantung wanita jelita sebagai santapan harian.
Lakonan watak utama seperti Stewart, Chris Hemsworth dan Sam Claflin juga seharusnya dipuji. Masing-masing mampu menampilkan persembahan meyakinkan, sehingga penonton lupa ia pada dasarnya masih berpaksikan sebuah kisah dongeng.
Pada waktu sama, walaupun filem ini dikategorikan sebagai epik, genre yang cukup berat untuk diterima, ia tetap mampu dihayati dengan baik kerana perjalanan ceritanya digarap sekemas mungkin.
Tatkala sedaya upaya membawa kelainan dalam pengkaryaan, pengarah tidak melupakan keaslian karya Snow White itu sendiri apabila mengekalkan identiti keseluruhan kisah dongeng terbabit dengan mengekalkan watak tujuh orang kerdil, permaisuri zalim, cermin ajaib, selain elemen cinta hakiki yang mampu membangkitkan puteri yang diracun hanya dengan ciuman sejati.
Cuma yang berbeza apabila pengarah berani mencuba kelainan dari sudut pandang sendiri, ketika memaparkan cinta sejati terbabit bukan terletak pada ciuman seorang anak raja, tetapi hanya melalui kucupan seorang pemburu yang banyak membantu Snow White selama ini.
Selain itu, dalam keghairahan penonton dihidangkan aksi lawan dan peperangan, pengarah menambah perisa mitos ini dengan menampilkan sinematografi yang cukup mempesonakan. Antara paparan paling cantik ialah hutan lumut yang dihuni ratusan haiwan ajaib dan seekor rusa jantan putih, yang menjadikan jalan cerita filem ini lebih indah lagi.
Idea pengarah seni dalam mewujudkan hutan gelap yang dihuni haiwan pelik serta ganas juga memikat hati, dalam mewujudkan rasa seram dan jijik kepada penonton.
Kehadiran dua elemen ini dalam memperkuatkan babak dan emosi cerita dilihat membawa makna simbolik kepada kehidupan yang dilalui manusia sama ada mahu memilih jalan hitam atau putih. Mungkin itu yang difikirkan pengarah apabila mewujudkan dua jenis hutan ini dalam filemnya kali ini.
Filem tulisan Evan Daugherty, John Lee Hancock dan Hossein Amini ini memaparkan mitos puteri jelita yang sanggup berkorban untuk rakyatnya yang ditindas kekejaman permaisuri dalam menguasai sebuah negara dan membuktikan kejelitaan serta kuasa tidak kekal selama-lamanya.
Ia turut memaparkan kesengsaraan si puteri yang dikurung sehingga dewasa oleh ibu tirinya, yang membunuh si raja pada malam pertama perkahwinan mereka.
Sebaik permaisuri menaiki takhta, negara itu ibarat padang jarak padang tekukur apabila tumbuhan tidak lagi subur dan mula kering kontang dan rakyat pula menderita kelaparan.
Mereka hidup dalam ketakutan apabila sentiasa diperhatikan askar jembalang yang dibina menggunakan besi tajam oleh kuasa magis si permaisuri.
Trailer Video Snow White And The Huntsman
Filem: Snow White And The Huntsman
Genre: Epik Fantasi/Pengembaraan
Aksi Pengarah: Rupert Sanders
Pelakon: Kristen Stewart, Charlize Theron, Chris Hemsworth, Sam Claflin, Ian McShane, Bob Hoskins, Ray Winstone, Nick Frost, Toby Jones
Tayangan: Mulai 31 Mei 2012.
Oleh Nor Hatina Shuib
Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan