Sebaik sahaja selesai melangsungkan pertunangan dengan pasangan pilihannya, Noor Dayana Hj. Lokman, 24, Ashraf Muslim, 30, memaklumkan bahawa dia akan berhenti berlakon bagi menumpukan perhatian terhadap bidang yang baru diceburinya iaitu perubatan secara Islam.

"Bagaimanapun keputusan ini bukanlah untuk selama-lamanya, hanya untuk tahun ini. Saya mahu tumpukan perhatian di pusat perubatan ini dahulu. Kalau ada tawaran, mungkin tahun depan saya akan kembali berlakon semula," ujar Ashraf yang ditemui sejurus majlis pertunangan selesai.

Bercerita tentang gadis pilihan hatinya itu, Ashraf memberitahu dia sudah mengenali Dayana kira-kira setahun setengah yang lalu. Pada awalnya dia hanya mengenali Dayana melalui nama kerana Dayana belajar di luar negara.

"Saya mengenali nama Dayana pada tahun 2009 lagi, tetapi hanya pada 2010 barulah saya berkesempatan berjumpa dengan orangnya. Pertama kali melihat dia, hati saya sudah suka. Dia nampak lemah-lembut dan sopan orangnya.

“Memandangkan saya banyak menghabiskan masa di pusat perubatan ini, saya dan Dayana menjadi bertambah rapat kerana dia turut sama membantu di pusat perubatan ini pada setiap hujung minggu.

“Saya rasa boleh serasi dengan dia kerana kami terlibat dalam bidang yang sama. Walaupun dia dalam perubatan moden, tetapi pengetahuan yang ada padanya banyak membantu saya untuk mempraktikkan perubatan secara islam," jelas Ashraf.

Ditanya mengapa memilih untuk bertunang pada hari yang sama dengan majlis perasmian Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Ashraff menjelaskan pada mulanya dia memang tidak berhasrat untuk bertunang pada hari ini. Bagaimanapun, ketika membuat persiapan untuk majlis perasmian, pihak keluarga sepakat untuk adakan bersama majlis pertunangan.

"Oleh kerana sudah ramai tetamu yang dijemput, jadi kami sepakat untuk buat majlis pertunangan sekali. Selain itu, kami juga mahu elak pandangan serong masyarakat sekeliling.

“Saya dan Dayana memang selalu di pusat perubatan ini. Bimbang ada yang tersalah faham, jadi lebih baik kami ikat tali pertunangan dahulu," ujar Ashraf lagi.

Sementara itu, Dayana menjelaskan dia terpikat dengan Ashraf kerana merasakan pelakon filem 'Aku Masih Dara' ini seorang yang baik. Dalam masa yang sama dia juga kagum dengan perubahan tingkah laku Ashraf sepanjang tempoh mengenalinya.

Nikah di Mekah
Majlis pertunangan Ashraf dan Dayana telah berlangsung di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Gombak pada jam 9.45 pagi tadi. Stesen televisyen TV9 turut mengadakan lintas langsung bagi memberi peluang kepada peminat melihat bakal isteri pelakon itu.

Majlis pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan acara menyarung cincin. Ibu saudara Ashraf, Fatimah Azil menjadi wakil pihak lelaki bagi menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Dayana. Ini kerana ibu kepada pelakon ini sudah meninggal dunia.

Sebanyak tujuh dulang hantaran telah dihadiahkan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Pemberian ini dibalas dengan tujuh dulang. Antara barangan yang disertakan ialah set alat mekap, persalinan, sireh junjung, kek dan buah-buahan.

Pasangan ini bakal melangsungkan pernikahan di Tanah Suci Mekah pada 1 Syawal hadapan. Ashraf, Dayana dan sanak saudara akan berlepas ke Mekah pada 17 Ogos dan akan menghabiskan masa kira-kira dua minggu di sana.

"Kami memilih untuk bernikah di sana kerana mahu mengikut jejak langkah para sahabat nabi. Selain itu, kami juga ingin menunaikan umrah. Selepas nikah nanti, kami akan lakukan ibadah tawaf dan solat sunat sebelum teruskan dengan acara batalkan air sembahyang," cerita Ashraf.

Selain itu, pasangan ini turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Shah Alam dan majlis menyambut menantu di Melaka. Bagaimanapun, tarikh dan lokasi masih belum dapat diumumkan.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top