…Dalam Botol bukan eksperimen

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN


hi 05.1

ARJA Lee (kiri) dan Wan Raja merupakan pelakon utama …Dalam Botol.



FILEM …Dalam Botol memang lain daripada yang lain. Kelainan itu dapat dilihat daripada jalan cerita tentang pasangan homoseksual, Rubi dan Ghaus. Kisah hubungan terlarang pasangan sejenis itu memang ramai yang mengetahuinya.

Namun, tidak ramai penerbit yang berani mengetengahkan isu sensitif itu menerusi layar perak. Filem arahan Khir Rahman itu turut berbeza dengan filem-filem Melayu yang lain.

Misalnya, daripada segi pergerakan kamera yang tidak stabil dan adegan-adegan yang sunyi sepi tanpa muzik banyak melatari filem terbitan Pengedaran JAS Sdn. Bhd., itu.

Di sebalik elemen-elemen drama yang perlahan, kelainan-kelainan yang cuba ditonjolkan …Dalam Botol itu ada sebab-sebabnya yang tersendiri.

Menyingkap persoalan itu, Khir cuba menyelongkar kelainan gaya arahannya itu yang katanya, bukan berbentuk eksperimen. Sebaliknya, ia adalah kitar semula dalam sisi pengarahan yang biasa tetapi jarang dilakukan dalam filem tempatan.

“Saya pernah ditanya, mengapa tidak menggunakan tripod (kaki tiga) pada kamera yang digunakan dalam filem ini? Saya tidak mahu watak yang digambarkan itu terlalu stabil. Sungguhpun begitu, gambar yang diambil tidaklah terlalu goyang.

“Sementara tiada muzik latar pada sesetengah adegan itu sebabnya saya tidak mahu ‘merasuah’ para penonton dengan teknik-teknik filem yang canggih. Adegan tiada muzik latar memang disengajakan.

“Kalau sedih, maka sedihlah adegan itu. Biarlah adegan-adegan itu berdiri atas kekuatannya sendiri,” katanya selepas pratonton …Dalam Botol di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun menafikan ...Dalam Botol sebuah filem eksperimentasi, namun anak penyanyi tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan ini tidak memandang ia sambil lewa.

Jauh sekali untuk mengambil kesempatan terhadap penerbitnya, Raja Azmi Raja Sulaiman yang menaruh kepercayaan kepadanya bagi melangsaikan karya tersebut.

“Saya tidak bereksperimen jauh sekali mengambil kesempatan ke atas Raja Azmi. Saya tahu subjek atau cerita filem ini payah hendak laku. Apa yang saya cuba lakukan ialah menyelak buku-buku ilmiah tentang filem.

“Saya cuba membawakan ‘bahasa-bahasa filem’ itu dalam filem ini. Setiap adegan adalah susah untuk saya gambarkan. Di Malaysia ramai pelakon yang berbakat tetapi mereka tidak real atau asli.

“Sebab itu, Arja Lee yang melakonkan watak Ruby terpaksa berlatih berjalan seperti pondan selama berhari-hari untuk mendapatkan penghayatan. Itu adalah kesungguhan dan bukan eksperimen,” ujarnya.

Tambah Khir, tiada adegan yang dipotong oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam filem biarpun ada paparan watak Ghaus memakai seluar dalam sewaktu tidur dengan Ruby.

“Tidak ada adegan yang dipotong oleh LPF dalam filem ini. Walaupun ada adegan pakai seluar dalam tetapi ia tidak lama. Saya juga katakan, biasalah orang lain dalam bilik ramai yang macam itu (pakai seluar dalam),” jelasnya.

Selain Arja Lee, turut berlakon dalam filem berdurasi hampir dua jam itu ialah Wan Raja yang melakonkan watak Ghaus dan Diana Danielle (Dina).






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top