8995859

Pasti ada antara kita masih mengingati sebahagian bait lagu Hujan Air Mata satu ketika dahulu yang cukup menyentuh perasaan ini.

Lagu itu dinyanyikan seorang insan yang kurang sempurna fizikalnya, tetapi berbakat besar iaitu Siti Musliha Mohd Mustafa.

Bagi yang sudah lupa, Siti Musliha atau lebih mesra dipanggil Siti pernah mendapat liputan luas media dan perhatian masyarakat kerana kisah hidupnya.

Siti yang lahir pada tahun 10 Januari 1983 dalam keadaan tidak normal dan cacat hampir seluruh anggota badan. Sehingga tahun 1994, dia menjalani tiga pembedahan untuk membentuk wajah dan membetulkan kedudukan anggota seperti hidung dan mata.

Pada 1995, komposer terkenal, Adnan Abu Hassan mengesan bakat Siti dalam bidang nyanyian. Hasilnya, Siti menghasilkan album pertamanya berjudul 'Siti Musliha'.

Album dihasilkan bertujuan membiayai kos pembedahannya yang keempat itu mendapat sambutan masyarakat. Siti juga sempat merakamkan album keduanya 'Mutiara Hati' pada tahun berikutnya.

Namun, sejak penampilan terakhir pada 1997, Siti terus menyepi dari dunia seni. Kehilangannya mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat yang ingin mengetahui keadaannya kini.

Sinar Harian yang berkesempatan bertemu Siti di sidang media majlis makan malan Kesatria Seni anjuran MS Production and Entertainment tidak melepaskan peluang bertanyakan perkembangan terkininya.

Siti diundang khas untuk menyanyi dalam majlis makan malam berkenaan yang akan diadakan pada 2 Julai di Melaka International Trade Centre (MITC).

Menurut Siti yang kini menetap di Serendah, Selangor berkata, kehidupannya kini banyak dihabiskan di rumah bersama keluarganya.

"Saya baru saja pulang dari mengerjakan umrah beberapa bulan yang lalu.

"Saya hanya duduk di rumah dan melakukan aktiviti yang mendekatkan saya dengan Tuhan," katanya yang masih belum mempunyai teman istimewa ini.

Mengulas mengenai bidang nyanyian, gadis berusia 28 tahun ini mengakui rindu untuk menyanyi dan tidak menolak sekiranya diberikan peluang merakamkan album.

"Niat itu memang ada, namun semuanya bergantung kepada rezeki. Jika ada kesempatan, saya teringin merakamkan album nasyid atau ketuhanan.

"Selain itu, saya juga mengimpikan untuk berduet dengan penyanyi idola saya iaitu Datuk Siti Nurhaliza," katanya.

Dalam pada itu, Siti meluahkan kegembiraan apabila ditawarkan membuat persembahan di makan malam Kesatria Seni.

"Saya terharu kerana masih ada yang mengingati dan mempercayai bakat saya. Untuk majlis itu, saya akan menyanyikan tiga lagu," katanya.

Menceritakan pengalamannya di Mekah, Siti tidak melepaskan peluang berdoa agar dia dapat melihat dengan sempurna.

Selain itu, Siti juga tidak menolak sekiranya ada insan yang sudi membantunya menjalani pembedahan plastik.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top