Tradisi tersingkirnya pelajar perempuan dalam program realiti Akademi Fantasia dipecahkan monopolinya oleh Shah pada musim lalu. Namun, di musim ini tradisi itu diteruskan kembali oleh Laika apabila dia menjadi pelajar pertama yang tersingkir dari program realiti yang kembali dikemudikan oleh Aznil Hj Nawawi.
Menyanyikan lagu Ku Bahagia yang pernah dipersembahkan oleh Nana di musim yang pertama, Laika yang berasal dari Kuala Lumpur menerima undian SMS terendah dengan hanya mengumpul 4% undian. Lagu Ku Bahagia dipopularkan oleh Melly Goeslaw turut dimuat dalam filem Ada Apa Dengan Cinta.
Kesemua anak didik Pengetua Amy Search itu telah diberikan kritikan oleh dua pengkritik tetap iaitu Hattan dan Fauziah Ahmad Daud serta pengkritik jemputan, Adibah Noor.
Sementara itu, Nera yang ternyata gagal menyampaikan lagu Aku Lebih Tahu dendangan asal Mila menduduki senarai teratas carta undian SMS dengan 16% undian. Keputusan undian yang memihak kepadanya tidaklah begitu mengejutkan kerana Nera merupakan pelajar yang berasal dari Sabah.
Dalam konsert minggu pertama yang berlangsung di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil menyaksikan terserlahnya persembahan dua pelajar lelaki iaitu Afif dan Azri yang masing-masing membawakan lagu Cinta Kristal (Rahim Maarof/Awie) dan Bukan Untuk Dimengerti (Judika). Walaupun memberikan persembahan terbaik pada malam itu, kedudukan Afif dan Azri hanya berjaya mengukuhkan kedudukan masing-masing di tangga ke 6 dan 8 sahaja.
Persembahan lain terdiri daripada Lena – Lagu Untuk Kuala Lumpur (Tom), Eka – Kau Bisu (Alyah), Aida – Teringin (Shima), Miza – Akhirnya Kini Pasti, Erul – Ganas (KRU), Amir – Just The Way You Are (Bruno Mars), Kay – Menyesal (6ixth Sense) dan Raqib – Yank (Wali Band).
Konsert Akademi Fantasia Minggu Pertama disiarkan secara langsung di Astro RIA Sabtu lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan