Minggu kedua gelanggang Maharaja Lawak masih belum memperlihatkan sebarang penyingkiran selepas kesemua 12 peserta beraksi mempamerkan persembahan hebat masing-masing.


Bagaimanapun lebih menakutkan apabila salah seorang jurinya, pengarah terkenal, Ahmad Idham mengumumkan dua peserta akan disingkirkan minggu depan.

Dua lagi pengkritik yang menilai setiap persembahan iaitu pengarah, Mamat Khalid dan pelawak handalan Saiful Apek, bagaimanapun enggan memberikan sebarang penjelasan terhadap gimik yang dirancang itu. Realitinya, peserta yang gagal meraih undian penonton dan berada pada dua kedudukan terendah tidak berpeluang membuat persembahan meskipun sudah bersedia dengan rangka jenaka yang ingin dipertaruhkan memandangkan penyingkiran dilakukan di awal lagi. Meskipun tampak kurang adil dan bagai memberi harapan kepada mereka yang kurang bernasib baik namun itulah hakikat elemen kejutan yang disuntik pada pentas realiti pengiktirafan Raja Lawak menjadi Maharaja Lawak terunggul dan meraih hadiah berjumlah RM300,000. Bayangkan, lima peserta terendah undiannya yang diumumkan malam Jumaat lalu pada akhir gelanggang minggu kedua iaitu XN3, Amir, Man, Wai dan satu-satunya srikandi, Jihan Musa, bakal berdepan dengan risiko mengheret bagasi keluar dari pentas. Namun ketika diminta mengulas mengenai kejutan yang dilakukan hingga mengundang kekeliruan di kalangan penonton, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, berkata kesemua perancangan serta perjalanan format program adalah hasil perbincangan pihak produksi yang ingin membawa kelainan bagi mewujudkan lebih sentimen drama dalam Maharaja Lawak. "Memang mengejutkan dan ada pihak yang keliru dengan konsep penjurian yang dilakukan. Namun itulah kelainan kepada Maharaja Lawak yang bebas daripada sebarang ikatan format atau prosedur selaras. Kami sengaja membuat keputusan begini kerana ada lebih banyak percaturan sudah disusun sepanjang program. "Rencana program memang membuatkan ramai yang keliru atau persoalan kepada mereka tapi inilah suntikan segar yang kami anggap relevan. Kami tidak mahu menyingkirkan mana-mana peserta minggu ini walaupun nama yang sepatutnya meninggalkan institusi komedi sudah ada kerana tempoh seminggu yang kami berikan ini akan menambah rasa debaran.

"Malah kami dapat mengukur tahap kesungguhan dan komitmen mereka kepada tuntutan program meskipun lima terbawah itu bagai meletak nasib di hujung tanduk. Segala perancangan dan setiap gimik yang dilakukan bukanlah satu keputusan yang melulu sebaliknya ia rasional dan berkesan," katanya. Maharaja Lawak yang menggabungkan kesemua finalis program realiti Raja Lawak (RL) sejak musim pertama hingga yang terbaru, musim kelima, menyaksikan pertembungan ikon-ikon komedi pujaan ramai.

Minggu kedua sudah menyaksikan sebuah dimensi baru dalam komedi yang cukup hebat dan menarik. Bayangkan, hanya diberi tiga minit, duo Jambu yang dianggotai Yus yang juga Juara RL musim pertama bersama pemenang tempat keempatnya, Zamaratul Amri Zakaria, berjaya memecahkan lawak konvensional yang menjadi kebiasaan dilakukan.

Tidak hanya bijak bermain imaginasi kononnya dua pemuda yang berkomunikasi dengan ketua kampung yang memakai 'boxer' dan ilusi Zila Bakarin, mereka punya kekuatan pada ekspresi wajah dan skrip bersahaja. Meskipun semuanya hanya bayangan sebagai subjek namun kesungguhan mereka membina plot jenaka bagai sebuah babak dua orang kurang siuman, membuatkan penonton dan Mamat Khalid turut berkhayal.

Kumpulan Sepah yang pernah diangkat juara ketika musim ketiga turut tidak menghampakan. Kumpulan tiga anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor yang terkenal dengan komedi kasar itu menceritakan perihal tiga banduan dalam penjara yang mempunyai pelbagai masalah. Bukan setakat idea yang baru dan menarik, malah lakonan bersahaja ketiga-tiganya membuatkan penonton tidak kering gusi.

Juara RL musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad juga mencuri tumpuan minggu kedua ini apabila menampilkan komedi bersiri yang menjadi kesinambungan daripada minggu lalu mengisahkan gelagat seorang 'salesman'. Selain plot cerita yang tersendiri, gelagat komedi Nabil yang hanya bersandarkan beberapa props daripada bahan pembakar, disifatkan kreatif.

Manakala Jozan yang menggabungkan dua pelawak popular, Johan dan pemenang Pelakon Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), Zizan Razak, bukanlah pilihan utama barisan juri namun mereka masih relevan di mata penonton apabila setiap komedi yang disampaikan masih berjaya memancing tawa penonton. Pesona dan populariti melangkaui komedi 'recycle' mereka namun kedua-dua pengacara dan pelakon filem ini masih bijak menyusun cerita yang masih sama, mengajuk senario Datuk Yusuf Haslam dan anak bujangnya, Syamsul atau Sol. Gaya Johan dan Zizan begitu selamba. Pilihan penonton dengan meletakkan tiga bintang utama di tangga teratas iaitu Jozan, Sepah dan Nabil, bagai dijangka. Mengikut kritikan juri, Saiful Apek yang memandang kesemua peserta punya bakat dan kisah menarik yang ingin dikongsikan namun penyampaiannya ada kalanya gagal diselaraskan dengan sempurna. "Saya sendiri kagum melihat beberapa jenaka yang saya sifatkan segar, menarik dan tersendiri. Malah sesetengah peserta malam ini saya cukup kagum dengan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menterjemahkan kreativiti menerusi komedi. Mungkin jika diberi lebih rasa yakin dan percaya pada bakat sendiri, persembahan mereka akan jauh lebih mencuit hati," katanya.

Membuka tirai dengan kumpulan yang pernah dinobatkan di tempat ketiga Raja Lawak musim ketiga, XN3 tampil dengan sketsa pocong. Meskipun gagal meraih perhatian Mamat kerana idea yang dipersembahkan dikatanya klise, XN3 masih berjaya menambat hati penonton di studio yang tidak henti ketawa.

Nur Jihan Musa yang juga naib juara RL musim ketiga pula bagai tiada pesona bintang di gelanggang Maharaja Lawak kerana meskipun gadis berusia 28 tahun ini tampil dengan jenaka menarik dan penyampaian bersahaja yang mencuit hati, Jihan masih gagal menembusi undian penonton apabila namanya sekali lagi terpampang antara tangga terbawah.

Bagaimanapun, dua peserta yang paling menyedihkan dan bagai hilang arah meskipun pernah diberi pengiktirafan sebelum ini ketika menyertai RL adalah Amir dan kumpulan Wai yang menyatukan Juara dan Naib Juara RL musim keempat, Idlan dan Kechik.

Wai tidak hanya menampilkan tiga minit jenaka tanpa arah dan tiada hubungan dengan penonton malah ketiga-tiga mereka seperti tidak bersedia.

Begitu juga dengan juara RL musim kelima, Man juga gagal meletak jenaka menarik sebagai umpannya sebaliknya kehadiran jejaka berusia 33 tahun ini bagai hanya melengkapkan barisan peserta. Saiful Apek menzahirkan rasa kecewa dan malu kerana bintang yang pernah diangkat menjadi juara masih gagal menarik perhatian penonton dan meletakkan jenaka 'kosong' sebagai sandaran. Baik Man mahupun Wai masing-masing perlu bangun dan memikirkan sesuatu sebelum ada pihak mempersoalkan kredibiliti gelaran juara yang ada.

Amir masih sama seperti ketika di RL musim ketiga. Jenaka dengan slanga Kelantan dan tiada kandungan yang ingin dikongsikan. Pendekatannya dengan banyak berinteraksi dengan penonton juga kurang impak.

Persembahan Alex, kumpulan R2 dan Balas tampil sederhana namun masih berjaya menarik perhatian penonton.

Maharaja Lawak yang sebelum ini dapat disaksikan menerusi Astro Prima bagaimanapun akan mula beralih ke saluran pemantauan pakej Mustika, Astro Warna pada minggu ketiganya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top