Antara babak dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal
SERDANG:Selepas mendapat sambutan menggalakkan di Istana Budaya (IB), Pengarah Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal, Harith Iskander memberitahu bakal mengadakan pementasan teater tersebut di enam lokasi di Ipoh, Perak.
Bagaimanapun, menurut Harith, pihaknya masih lagi membuat perbincangan dengan Majlis Bandaraya Ipoh untuk menentukan tarikh dan lokasi yang sesuai.
"Selepas tamat persembahan di Istana Budaya, kami mendapat pelawaan untuk mementaskan teater tersebut di Ipoh.
"Ia akan diadakan selama lima hari di beberapa lokasi yang akan diberitahu kelak.
"Bagaimanapun, perbincangan secara terperinci akan dilakukan bagi mengetahui tarikh dan masa yang sesuai memandangkan pelakon utama, Awie kini sedang sibuk dengan Konsert Opera Hidup pada akhir bulan ini," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Kutipan Amal Darul Salam, di Seri Kembangan di sini, Isnin.
Tambah Harith, pementasan tersebut berkemungkinan dilakukan dalam masa terdekat ini berikutan permintaan daripada peminat Datuk Lat di sana yang tidak dapat menyaksikan persembahan tersebut tempoh hari.
"Memandangkan Datuk Lat sendiri berasal dari Ipoh, jadi ramai peminat-peminat yang berada di sana ingin menonton persembahan tersebut.
"Mereka mahu teater itu dibawa ke Ipoh kerana ramai yang tidak berpeluang menyaksikan persembahan berkenaan di IB," ujarnya.
Ketika ditanya tentang perancangan mementaskan teater tersebut kali kedua, Harith memberitahu mereka sudah merancang ke arah itu.
"Memang akan ada persembahan untuk kali kedua, namun untuk mementaskan dia IB kita perlu tempah setahun lebih awal.
"Kami akan fokus kepada teater Cuci The Muzikal 3 terlebih dahulu iaitu pada Februari tahun depan, kemudian baru kita teruskan dengan Lat Kampung Boy," katanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan