KUALA LUMPUR: Selepas empat minggu bertahan, peserta dari Sabah, Alex atau nama sebenarnya, Alexander Ahat, 30, terpaksa akur dengan keputusan dengan meninggalkan pentas Maharaja Lawak selepas diumumkan tersingkir oleh juri tetap Mamat Khalid, Jumaat.
Alex mendapat undian terendah dengan jumlah 28 peratus (%) manakala Jihan mendapat 29%, Man (31%), Amir (42%), kumpulan Balas (45%), kumpulan Jambu (53%), kumpulan sepah (54%), Nabil (58%) dan kumpulan Jozan mendapat 61%.
Menurut Alex, dia gembira kerana bertahan selama empat minggu walaupun mengakui dirinya bukanlah seorang pelawak yang hebat.
“Sebenarnya saya bukan seorang pelawak tetapi cuba untuk menjadi pelawak. Saya lebih selesa jika diri ini berada di belakang tabir sahaja iaitu dengan menghasilkan skrip-skrip berunsur lawak komedi.
“Memang kalau nak diikutkan saya mahu ke depan dan berdiri di atas pentas membuat lawak. Tetapi hakikatnya, saya kurang dari segi itu.
“Bagaimanapun, saya kecewa kerana membuat persembahan yang kurang memuaskan,” katanya selepas program di bawah saluran Astro Warna itu dijalankan di studio Finas, Ulu Kelang, di sini.
Tambah Alex, dia turut tertekan apabila terpaksa bersaing dengan peserta-peserta lain yang memiliki bakat semulajadi yang hebat.
“Ya, agak tertekan sedikit bila berada di Maharaja Lawak kerana peserta-pesertanya hebat-hebat belaka, tidak seperti pertandingan Raja Lawak.
“Apapun, walaupun disingkir, saya akan teruskan melakukan kerja saya seperti biasa dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
“Pada masa sama, saya mahu mendalami cara-cara penulisan skrip komedi dan impian saya untuk menjadi penulis skrip komedi drama mahupun filem di masa akan datang nanti,” tuturnya.
Pada malam pertandingan tersebut, seperti biasa, Jozan, Jambu, Sepah dan Nabil berjaya membuatkan para penonton serta juri bergelak ketawa tanpa henti. Manakala persembahan balas kurang menyegat seperti minggu-minggu sebelumnya.
Sementara itu, Amir mendapat pujian daripada Mamat Khalid kerana dia berjaya mengubah persepsi juri yang merasakan dirinya bakal disingkir pada minggu ini.
“Bayangkan, Amir naik ke pentas dengan semangat sifar daripada penonton kerana persembahan yang kurang menyerlah pada tiga minggu sebelum ini.
“Pihak juri pula sudah dapat merasakan dia tersingkir. Ternyata Amir ‘permainkan’ kami kerana kali ini, dia berani menonjolkan topik yang ingin disampaikan. Boleh katakan peningkatan Amir sebanyak 60%,” ujar Mamat.
0 ulasan:
Catat Ulasan