Britain kini giat membuat persiapan terakhir bagi perkahwinan Putera William dan Kate Middleton pada minggu depan yang bakal menjadi upacara diraja terbesar dalam tempoh 30 tahun.

Kira-kira dua juta penonton dari seluruh dunia dijangka menyaksikan detik bersejarah itu pada 29 April ini, manakala ratusan ribu lagi akan membanjiri Westminster Abbey untuk melihat dari dekat pasangan pengantin diraja tersebut.

Dalam pada itu, para petugas diraja bertungkus lumus menyiapkan persiapan terakhir menjelang upacara kemuncak itu.

Kira-kira 1,900 tetamu termasuk kerabat diraja asing dan selebriti akan tiba di London bagi menghadiri upacara perkahwinan itu, di samping pihak berkuasa Britain mengadakan kawalan keselamatan secara besar-besaran bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Segala persiapan yang dilakukan hampir sama seperti ketika perkahwinan diraja antara ibu bapa Putera William, mendiang Puteri Diana dan Putera Charles pada 21 Jun 1981.

Upacara perkahwinan diraja tersebut turut akan dihadiri oleh 40 kerajaan diraja termasuk Putera Albert dari Monaco, wakil-wakil dari 100 negara serta kenalan rapat kepada kedua-dua pasangan.

Selain ia akan disiarkan di televisyen di seluruh dunia, orang awam juga dapat menonton perkahwinan tersebut melalui YouTube serta dapat mengikuti perkembangan terkini menerusi laman sosial Twitter dan blog.

Sebahagian ibu kota London sudah dihiasi dengan bendera Britain bagi menyambut ketibaan detik bersejarah itu malah kerajaan mengisytiharkan hari tersebut sebagai cuti umum.

Perkhidmatan Polis Metropolitan London, Scotland Yard juga menyediakan seramai 5,000 anggota bagi mengawal keadaan semasa upacara itu berlangsung berikutan terdapat ancaman protes daripada kumpulan ekstremis Islam. – AFP

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top