hi 01.1
SCHA mengharapkan lebih banyak peluang berlakon dengan watak lebih mencabar.

MEMANG sudah menjadi prinsip hidup aktres popular ini tidak akan mencampuradukkan kisah peribadi dengan kerjaya seninya.

Atas alasan itulah, Scha Alyahya akan menolak segala tawaran berlakon mahupun sesi fotografi bersama buah hatinya, aktor dan pengacara kacak, Awal Ashaari.

“Saya tidak mahu masyarakat dan peminat bosan apabila melihat kelibat kami berdua dalam mana-mana drama, filem mahupun gandingan kami untuk majalah dan akhbar.

“Saya harus akui, memang banyak tawaran berlakon yang kami terima, namun kami menolaknya dengan baik. Bukan apa, kalau terlalu kerap muncul, pasti orang akan berasa jelik dan menyampah melihat kami nanti.

“Adalah lebih baik untuk kami mengasingkan diri serta menetapkan batasan antara kerjaya dan peribadi kami,” luah Scha penuh jujur.

Juara pertandingan Dewi Remaja 2006 itu berkata demikian pada majlis pengumuman pencarian Carefree Girl Bebaskan Bakatmu yang berlangsung di The Actor’s Studio, Lot 10, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas Scha dan Awal digandingkan dalam drama Prebet Jamilah tahun lalu, respons yang diterima cukup menggalakkan dan mereka dilihat sebagai pasangan yang serasi di layar kaca.

Melihat kepada keserasian itu, mereka bakal disatukan kembali dalam drama mini bersiri, Dunia Kita yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Mengulas tentang pemilihan Awal sebagai teraju utama dalam drama itu, Scha memberitahu semuanya di luar bidang kuasanya.

“Jujurnya, saya sendiri tidak tahu tentang pemilihan Awal untuk drama ini sehinggalah diberitahu sendiri olehnya. Malah, Awal juga tidak tahu bahawa saya juga berlakon dalam drama ini.

“Tetapi, apabila keputusan itu dilakukan oleh pihak penaja, saya tidak dapat menolaknya dan perlu menghormatinya,” ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sambil tersenyum.

Sudah empat tahun bergelar anak seni, pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini mengakui dia masih belum puas dengan pencapaiannya sebagai seorang aktres.

Cukup dikenali dengan watak Dania dalam drama rantaian, Awan Dania selama tiga musim, Scha mahu meneroka lagi bakat lakonannya dengan pelbagai watak yang mencabar.

Malah, Scha juga cukup sedar akan watak-watak yang diberikan kepadanya setakat ini kebanyakannya tidak banyak lari daripada perwatakan dirinya yang sebenar.

“Tetapi, percayalah, saya sanggup untuk belajar dan mencari kelainan untuk mempelbagaikan lagi watak demi memantapkan portfolio seni saya.

“Dalam erti kata lain, saya bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru dan berharap peluang itu akan datang kepada saya kelak,” kata Wajah Eksklusif Astro ini dalam nada optimis.

Sehingga kini, Scha sudah membintangi lima buah filem iaitu Antoo Fighter, Libas, Histeria, Papadom dan Evolusi KL Drift 2.

Antara pencapaian terbaiknya apabila dia dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bagi filem Histeria.

Dalam pada itu, Scha juga menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah apabila dapat berlakon di samping pelakon hebat seperti Nasha Aziz dan Hans Isaac.

Bukan itu sahaja, apa yang membuatkan dirinya bangga apabila diberi tunjuk ajar dan berlakon di bawah arahan pengarah hebat antaranya Afdlin Shauki dan James Lee.

Bakat Scha tidak hanya pada bidang lakonan tetapi juga sebagai seorang pengacara apabila pernah mengacarakan program seperti Sehati Berdansa dan Kata Kau!.

“Saya juga mahu terus menjadi pengacara dan meneroka bakat saya dalam bidang ini kerana ia merupakan cabang seni yang cukup saya minati,” ujar Scha lagi.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top