Juvana uji Bront, Izreen & Zahiril
NAMA Bront Palarae tiba-tiba menjadi bahan bualan di media dan peminat seni tempatan, sejurus diumumkan sebagai pelakon lelaki terbaik filem menerusi Festival Filem Malaysia (FFM23) dan Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) baru-baru ini.
Dengan niat untuk terus berada di hati peminat, Bront mengakui bahawa dia masih seperti dahulu biarpun menggondol dua anugerah yang mengiakan kehebatannya sebagai seorang pelakon filem.
Bagi Bront, anugerah tersebut hanyalah penghargaan terhadap bakatnya sahaja dan bukan menjadi tiket untuknya berlagak dan meninggi diri.
Katanya: “Selepas atau sebelum menang anugerah, saya tetap sama sahaja. Tiada istilah badi seperti yang didakwa sesetengah orang kepada penerima anugerah seperti saya.
“Juga tiada istilah meminta bayaran lebih atau demanding, cuma saya kini lebih banyak ditawarkan dengan watak-watak berat sahaja.”
Bront yang mengakui merindui untuk membawakan watak-watak komedi seperti dahulu kini akur untuk bekerja dengan watak-watak serius.
Buktinya, melalui drama bersiri terbaru berjudul Juvana yang akan bersiaran di TV3 tidak lama lagi, Bront diberikan watak sebagai seorang warden asrama sekolah juvana yang bengis.
Biarpun watak itu tiada kaitan dalam hidupnya, Bront sedaya-upaya memberikan persembahan yang terbaik agar dilihat semula jadi di kaca televisyen.
“Membawakan watak seorang warden di sekolah budak-budak nakal yang bengis dan tegas amat mencabar kerana ia memerlukan ekspresi yang masuk dengan karakter.
“Walaupun lebih mudah membawa watak komedi yang dekat dengan jiwa saya, karakter seperti ini sebenarnya akan mewarnai lagi kerjaya lakonan saya.” ujar Bront yang akan tampil dalam drama Lagenda Budak Setan 2 tidak lama lagi.
|
SELEPAS meraih dua anugerah yang mengiktiraf kredibiliti mutu lakonannya, Bront kini meraih peluang melakonkan watak mencabar sebagai warden asrama sekolah juvana yang bengis menerusi Juvana. |
Bagi satu-satunya teraju utama wanita dalam drama Juvana, Izreen Azminda, tempoh empat tahun dia menjadi penyeri dunia hiburan tanah air belum cukup kuat untuk mengangkat namanya sebaris aktres popular lain.
Dia bebas daripada dihimpit kontroversi murahan. Mungkin itu menjadi penyebab mengapa nama Izreen kurang menonjol meskipun pernah membintangi drama dan filem popular seperti drama Nenek Kebaya, Isabella, Samson Delaila, Sutera Maya serta filem Nana Tanjung 2 dan Otai.
Pemilik nama Izreen Azminda Mohd. Aznam, 26, itu bagaimanapun tidak kisah walaupun sering diberikan watak-watak antagonis asalkan survivalnya dalam dunia lakonan tidak tergugat.
Terbaru, buat kali pertamanya dia ditawarkan watak wanita yang bertanggungjawab. Diberikan karakter lembut, bertudung dan baik sebagai Cikgu Zakiah dalam drama Juvana nyata membuatkan Izreen tidak senang duduk.
Namun, atas bakat yang disandarkan, Izreen telah berusaha gigih menjiwai watak seorang guru kaunseling yang penuh dengan kesopanan biarpun dia mengakui bahawa agak sukar dibawakannya.
“Walaupun sudah empat tahun saya berlakon, inilah kali pertama saya ditawarkan dengan watak wanita lemah-lembut.
“Ia memang sangat sukar kerana berbeza dengan perwatakan saya yang sebenar dan sangat berat untuk dijayakan,” katanya.
Ingin tampil dengan penuh penghayatan, Izreen membuat kajian terperinci mengenai watak wanita baik agar dilihat kena dengan karakter Cikgu Zakiah.
“Saya belajar menghayati watak wanita baik melalui drama-drama tempatan. Lagipun, ia kontra dengan sifat saya yang sedikit kasar.
“Saya suka lakonan Noorkhiriah. Saya juga banyak belajar daripada lakonannya dan drama-drama lain,” katanya yang ditemui ketika pelancaran drama Juvana di Melaka baru-baru ini.
Membawa karakter kontra berbanding diri sebenar turut memberi cabaran besar kepada pembawa watak utama dalam drama tersebut, Zahiril Adzim.
Bagi Zahiril, menghidupkan watak Daim yang tidak banyak bercakap dan memerlukan pelbagai ekspresi, dia banyak dibantu oleh pelakon-pelakon lain termasuklah Izreen dan Bront agar Daim dilihat lebih semulajadi di kaca TV.
SALAH satu babak lakonan dalam Juvana.
“Walaupun sukar kerana watak Daim jauh dengan karakter sebenar diri saya, tetapi atas komunikasi dua hala diberikan pelakon-pelakon lain, saya tetap dapat menghayati watak pemuda berusia 17 tahun itu.
“Bront yang banyak pengalaman mudah diajak berbincang dan ia membuatkan saya lebih senang untuk mengangkat watak Daim,” kata Zahiril yang turut menganggap Daim sebagai satu watak yang unik.
Jika dilihat pada sosoknya yang kecil molek, pasti ramai yang tidak percaya bahawa jejaka kelahiran Taiping, Perak itu sudah mencecah usia 27 tahun.
Biarpun membawa karakter yang berumur sepuluh tahun lebih muda, ia tetap tidak memberi cabaran besar kepadanya untuk menghayati watak itu kerana di luar kaca TV Zahiril masih lagi menebal dengan sifat keanak-anakan.
“Walaupun saya sudah 27 tahun, tetapi jiwa 17 tahun dan nakal masih ada.
“Tiada masalah untuk berada dalam karakter pelajar sekolah kerena perangai saya juga masih keanak-anakan,” kata Zahiril yang pernah memegang trofi Pelakon Harapan Lelaki terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).
0 ulasan:
Catat Ulasan