Opera eksklusif Wings


DARI kiri: Black, Awie, Joe dan Eddie bakal menterjemah layar opera hidup seni mereka selama 25 tahun dengan barisan lagu dan kekuatan skil muzik di pentas baru.



SAYAP jentera mereka berkibar sejak lebih dua dekad. Siulan mereka berdendang, bertebaran dan berkelana ke segenap sanubari pengikutnya sehingga tumbuh lagi sayap-sayap baru.

Memang mereka bersayap, 'sayap' yang saling membentuk sebuah kesatuan merentasi era.

Tumbuh atas nama Wings, kumpulan yang dianggotai empat ahli tegar, Joe, Eddie, Black dan Awie ini masih belum puas menakluk angkasa raya rock & roll.

Segala yang terluah, terakam dan terzahir daripada himpunan lebih 20 album, telah mereka amati.

Seperti membukukan sebuah sejarah, sama ada menjajah ataupun terjajah, semuanya mahu dirangkumkan dalam sebuah kisah, sebab itulah ia dinamakan Konsert Wings Opera Hidup.

Kepada Wings, pembikinan konsert itu sendiri sudah satu pencapaian. Paling tidak, mereka unggul sebagai grup rock pertama yang masuk ke 'istana,' memalu gendang irama rock selama empat hari bermula dari 29 April ini.

"Ia satu penghormatan kepada Wings untuk bermain di arena yang berprestij berserta muzik yang eksklusif," kata Awie, sang vokalis.

Muzik serius yang dimaksudkan itu digelar 'rockestra' atau dalam definisi yang lebih tepat berbunyi penyatuan rock dan orkestra.

Ia sesuatu yang tidak pernah dan julung kali dilakukan oleh sebuah grup rock & roll Malaysia di atas pentas yang gah, Istana Budaya sebuah 'wilayah' yang belum terjamah secara penuh oleh mana-mana grup rock tempatan.

Berkongsi pentas yang sama pada waktu yang berbeza, rekod baru juga sedang diusahakan kuasa rockers ini.

Seramai 15 ikon rock terdiri daripada penyanyi dan pemuzik pula berhimpun mengisi dua persembahan versi semiakustik pada rembang petang 30 April dan 1 Mei ini dengan Konsert Wings Opera Hidup Superfriends.

Bezanya ketara besar. Selalunya konsert Wings disaksikan puluhan ribu peminat, tapi kali ini nilai itu menaiki satu takuk lagi.

Hanya pencinta yang benar-benar berjiwa Wings dan 'berani' menakluk Istana Budaya akan menjejak kaki ke tanah yang menaikkan nilai eksklusif grup tersebut.

Masuk ke dalam suku kata opera hidup itu sendiri, pelbagai rasa sudah diterokai oleh grup tersohor ini. Semuanya digumpalkan menjadi pengalaman dan benang hidup berdiri atas nama anak seni.

Bersilih ganti ahli kumpulan. Tempat Sham diganti Joe selepas album Belenggu Irama, album pengenalan Wings yang menyapa khalayak.

Perjalanan


DARI kiri: Hattan, Yantzen, Mus, Azlan, Awie, Ramli Sarip, Nash dan pemain bass, Yan antara bintang yang bakal bersatu dan beradu tenaga di Istana Budaya atas ikatan 'Superfriends' selama empat hari bermula 29 April ini.



Peralihan Jojet diganti Black dan pertukaran ini berlaku dua kali dalam sejarah Wings.

Posisi Eddie mengisi pemain bass menggantikan Zul. Itu akar sejarah Wings. Suka duka itu mengalir dengan sendiri.

Belum masuk lagi perihal isu rambut yang membuatkan grup ini digam selama lima tahun pada era 1990-an.

Takdir Wings hinggap dahan Superfriends bermula apabila Awie mengambil keputusan meninggalkan grup kesayangannya itu untuk bergerak solo pada November 1998.

Perubahan radikal ini menggerakkan kreativiti Wings dengan barisan vokalis pelengkap di bawah album Wings & Superfriends: Opera Dalam Kenangan 1 & 2.

Kolaborasi pada tahun 1994 ini rupa-rupanya adalah hikmah dan jodoh untuk mereka bertemu di atas pentas penuh berprestij pada 30 April dan 1 Mei ini.

Ramli Sarip, Hattan, Mus, Datuk M. Nasir, Hillary Ang, Kid, Edrie Hashim dan Ujang antara yang bersatu dan bakal membelenggu khalayak dengan irama senada dan senafas mereka.

Ulas si gitaris kidal yang sentiasa serius kalau berbicara soal muzik, Joe:

"Wings bertukar ganti ahli namun realitinya kita tidak pernah sekali pun berpecah dan itu yang membuatkan kami bangga di bawah nama Wings. Kita utuh selama 25 tahun."

"Bersama Superfriends seramai 15 orang, Wings bergabung dengan wajah baru dan lama serta yang aktif dalam industri. Lebih santai dengan tema unplugged.

"Mungkin khalayak merasakan persembahan malam dan siang adalah sama tetapi sebenarnya tidak. Ia dua pentas dengan tema berbeza," ulas Black pula membetulkan keadaan.

"Komitmen semua sangat bagus dan wajar diberi markah 'A.' Cuma kesukaran awal adalah dari sudut penyusunan sama ada mahu ikut aturan lagu atau penyanyi.

"Akhirnya kami masukkan aturan penyanyi dan sesuaikan dengan lagu-lagu pilihan," terang Joe.

Membayangkan himpunan 19 bintang rock di atas satu pentas, ini sebuah mimpi yang bertukar realiti. Ku Di Halaman Rindu, Dari Sinar Mata, Jikalau Berkasih, Hati Emas dan kesemuanya 19 lagu bakal bertukar vokal yang padu.

Pada 2002, Naga Kramat dihadiahkan buat peminat Wings. Itu cenderahati terakhir buat masa ini untuk 'Sayap-Sayap Wings' yang senantiasa menantikan halwa telinga daripada grup tersebut.

Peminat baru


GABUNGAN anggota WIngs yang asal, penggantai dan tegar. Sham (dari kiri), Mel, Eddie, Joe dan Black pernah bersatu di bawah tebaran muzik Wings.



Realitinya, lagu-lagu hasil nukilan grup ini selalu berhasil menakluk semua kalangan pendengar.

Bukan hanya siulan, malah lagu-lagu seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Hukum Karma dan Ranggi Metropoli sudah jadi lagu malar segar dan punya keramat tersendiri.

Menyentuh soal lagu baru, anggota kumpulan bersayap ini sudah mempunyai bahan terbaru untuk diterjemahkan dalam pendengaran khalayak.

"Mencipta lagu baru senang tetapi untuk lagu-lagu yang disukai itu diakui sukar. Wings perlu ada elemen kontemporari serta perlu bermain dengan masa dan keadaan yang tepat untuk dikeluarkan," ujar Eddie.

Dengan kesibukan sang vokalis di pentas berbeza, mereka mencari ruang selesa dan sesuai untuk merakam sebuah album baru. Tahu rindu khalayak sedang bergetar, begitu juga rasa itu buat mereka yang mahu tampil dengan sesuatu yang baru.

"Bunyi perlu sedikit berbeza, ikut peredaran masa. Mungkin perlu rekod semula lagu-lagu yang pernah dirakam dahulu," celah Joe yang sangat berterima kasih kepada peminat yang setia terutamanya kelab peminat mereka – Sayap-sayap Wings. Harapan mereka, agar material baru nanti dapat membentuk gelombang peminat baru dan mengekalkan pencinta lama yang sentiasa setia.

Tinggalkan dahulu seketika soal halwa baru yang hendak disajikan, tarikh penting 29 April hingga 2 Mei ini bakal menjadi titik sejarah penting buat Wings.

Galak promosi dikendalikan oleh syarikat Mewah Event Management membiaskan keterujaan buat peminat dan dengarnya tiket konsert laris terjual.

"Ini adalah penyatuan peminat dengan muzik kami. Mendekatkan jurang peminat yang datang daripada pelbagai golongan.

"Secara halusnya itu yang bakal disaksikan," ujar Black yang menganggap cabaran besar kelak adalah penyatuan ego dan undang-undang orkestra dengan keselambaan jiwa rock mereka.

Konsert Wings Opera Hidup bakal berlagu. Satu pentas, seribu nada dan sejuta harapan. Penting dalam ingatan, mereka ini adalah manusia-manusia jiwa halus yang mencintai muzik dan itulah mengapa muzik mereka ini mempunyai jiwa yang dapat sentiasa menyentuh khalayak sampai saat ini.

Saksikan visual hikayat penuh ranjau Wings daripada Belenggu Irama hinggalah Naga Kramat di pentas berbeza daripada biasa.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top