Dokumentari terbitan Syarikat Kay Promotion & Production House itu bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai identiti dan perjuangan bangsa sekali gus diharap menyatukan kembali orang Melayu di negara ini.
Pengarahnya, Jamal Lulkhir Jaludin berkata, dokumentari selama setengah jam itu akan mengemukakan gambaran sebenar peristiwa yang berlaku sekitar 1871 berdasarkan hasil kajian dan temu ramah waris berkenaan selama lapan bulan.
"Kita akan memaparkan bagaimana Residen Inggeris, J.W.W. Birch sebenarnya mati disula menggunakan lembing oleh Si Puntum yang juga pengikut setia pahlawan Melayu, Dato' Maharajalela dan bukannya ditetak di kepala seperti tertulis dalam sejarah.
"Selain itu, kita mahu menggambarkan perangai sebenar orang Inggeris terutamanya terhadap wanita, selain bertindak membunuh serta membakar rumah semata-mata untuk menjejaki waris pahlawan Melayu seperti Dato' Sagor dan Pandak Indut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jamal Lulkhir memberitahu, pihaknya akan memasukkan beberapa babak lakonan semula selain menjalin keseluruhan perjalanan plot dokumentari itu dengan emosi supaya ia dapat memberikan impak yang mendalam kepada penonton.
Dia yang terpanggil menghasilkan karya tersebut untuk dipasarkan ke semua sekolah kebangsaan di Malaysia juga bakal mengadunkan elemen syair dan puisi supaya mesej yang ingin disampaikan mampu digarap secara lebih berkesan.
"Banyak cabaran terpaksa ditempuhi dalam menjejaki waris keluarga berkenaan di seluruh pelosok negara ini, namun saya akan memastikan olahan ceritanya tidak lari daripada sejarah sedia ada.
"Namun, saya berani mengambil risiko dan berharap ia akan menjadi perintis kepada penghasilan dokumentari berbentuk sejarah di negara ini. Lagipun, nenek moyang saya sendiri berasal dari Pasir Salak," katanya.
Sehubungan itu, Jamal Lulkhir berharap, syarikat mahupun individu berminat untuk menyumbang kepada kos penerbitan dokumentari yang menelan belanja sebanyak RM250,000 itu boleh menghubunginya di talian 019-4334042 atau melalui e-mel khir69@yahoo.com.my.
0 ulasan:
Catat Ulasan