Status baru Justin Bieber
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan UNIVERSAL MUSIC
|
DALAM usianya yang baru 17 tahun, Justin Bieber sudah memiliki segala-galanya. |
APA yang membuatkan Justin Drew Bieber atau lebih dikenali dengan nama pentas, Justin Bieber begitu istimewa di mata jutaan peminatnya?
Kata sesetengah pihak, kalau hendak diukur kepada bakatnya, rasanya ada penyanyi lain yang bakat mereka jauh lebih hebat daripada Bieber.
Jika bukan bakat yang menjadi kayu pengukur kepada populariti dan kehebatan Bieber, memang tidak syak lagi, kegilaan peminat terhadap penyanyi kelahiran Kanada itu adalah kerana paras rupa yang comel dan sejuk mata memandang buat peminatnya.
Katalah apa sahaja tentang Bieber, dia cukup bertuah kerana sokongan padu peminatnya yang menjadi peguam bela tidak rasmi untuk membidas segala kenyataan negatif terhadap penyanyi pujaan mereka.
Biar apa pun kritikan yang dilempar kepada remaja berusia 17 tahun ini, tiada seorang pun yang dapat menafikan fenomena yang dicetuskan oleh Bieber.
Hadirnya umpama virus yang menyerang dan kemudiannya dengan pantas merebak sehingga menyebabkan peminatnya diserang histeria setiap kali mendengarkan atau menonton persembahannya.
Usianya dalam bidang seni baru setahun jagung tetapi populariti yang dikecapinya mengalahkan penyanyi senior sedia ada.
Dan, percaya atau tidak, Bieber kini sudah pun sebaris dengan penyanyi popular dan ternama sedia ada apabila sudah memasuki golongan sebagai artis paling kaya di dunia.
Percaya atau tidak, hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak dia mula menyanyi pada tahun 2008, Bieber kini dilaporkan sudah pun memiliki aset bernilai lebih daripada AS0 juta (RM302 juta)!
Semuanya adalah hasil daripada penjualan album, muat turun untuk lagu, kutipan tiket filem, penjualan barangan, menjadi duta dan jurucakap barangan selain daripada keuntungan daripada siri konsert jelajah dunianya.
Sayugia diingatkan, semua keuntungan itu adalah hak milik mutlak terutama untuk penjualan album dan lagu kerana dia bukan hanya menyanyi tetapi dia juga adalah komposer serta penulis lirik bagi kesemua lagu di dalam albumnya.
Untuk setiap kunjungannya ke lokasi konsert terpilih, Bieber dikatakan menerima bayaran sekurang-kurangnya AS0,000 (RM908,000). Setakat ini, Bieber sudah pun mengadakan persembahan di 140 buah lokasi di seluruh dunia dan terbaru, di Malaysia, esok, 21 April.
Bukan itu sahaja, Bieber juga menjadi artis kedua popular selepas Lady Gaga di laman sosial, Twitter dengan jumlah pengikut seramai 8.3 juta dan menjana keuntungan luar biasa dari sudut pengiklanan.
Ternyata populariti luar biasa yang telah dicetuskan oleh Bieber membuatkan banyak syarikat mahu menggunakan khidmatnya dalam usaha menarik perhatian pelanggan mereka dalam mencatatkan keuntungan.
Sebagai contoh, Bieber dikatakan telah menerima bayaran AS juta (RM3.02 juta) hanya untuk muncul dalam iklan 30 saat untuk mempromosikan produk terbaru keluaran Best Buy yang kemudiannya ditayangkan sewaktu perlawanan US Super Bowl.
Berbekalkan wajah comel, bayaran yang diterima pelantun lagu Baby itu memang cukup lumayan iaitu sebanyak AS juta (RM9.06 juta) untuk kontrak selama dua tahun produk ProActiv.
Angka itu memang dianggap sebagai luar biasa bagi seorang artis baru dan muda seperti Bieber dan ia juga dikatakan berjaya mengatasi bayaran yang pernah diterima oleh artis dewasa yang menjadi duta produk.
Bieber sememangnya cukup bijak mengatur strategi terbaik dalam memasarkan namanya dan dia juga sedar, apa sahaja yang melibatkan dirinya, ia akan menjadi rebutan.
Itulah yang dilakukan oleh Bieber apabila dia bersetuju untuk menggunakan namanya bagi produk barangan bilik tidur seperti cadar, sarung bantal dan selimut selain fon kepala (headphone) dan barang kemas untuk kanak-kanak.
Malah, jejaka yang cukup terkenal dengan imej potongan rambut mangkuk (bowl cut) itu turut memberikan penghormatan kepada peminat wanitanya apabila dia mengeluarkan produk kecantikan berupa varnis kuku, One Less Lonely Girl.
Filem pertamanya, Justin Bieber: Never Say Never juga mencipta rekod luar biasa apabila mencatatkan kutipan sebanyak AS juta (RM221 juta) di seluruh dunia.
Dengan angka itu, ia sekali gus menjadi filem konsert paling laris di dunia sejak tahun 1984 dan filem dokumentari ketiga terlaris sejak 1982.
Kemewahan Bieber juga dikatakan akan terus meningkat apabila patung mainannya berada di pasaran tidak lama lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan