Walaupun tidak berdepan dengan masalah untuk bangun pagi, Nabil merasakan tindakannya itu memudahkannya untuk berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari.
"Sebelum ini saya selalu menerima jemputan untuk muncul di stesen radio lain apabila penyampai radio sedia ada tidak dapat ke udara disebabkan komitmen lain. Daripada situlah, minat untuk menjadi penyampai radio mula timbul.
"Bila ditawarkan untuk menjadi penyampai radio Suria FM, saya terus setuju, malah sanggup pindah rumah supaya memudahkan saya berulang-alik ke tempat kerja," katanya yang mengaku komitmennya bakal bertambah, namun tidak menganggap ia sebagai satu beban malah peluang keemasan.
Nabil juga mengaku, dia kini sudah mampu menghela nafas lega dengan tugas baharunya itu kerana sekurang-kurangnya sudah ada pendapatan tetap setiap bulan.
Mengenai gandingannya dengan Kenchana, bagi Nabil, dia yakin dengan keserasian yang mereka ada kerana sebelum ini dia dan Kenchana sudah beberapa kali digandingkan dalam beberapa acara dan majlis.
"Kami berdua sudah diberi latihan persediaan sebelum memulakan tugas sebenar dan setakat ini, gandingan kami bertiga tidak ada sebarang masalah. Kalau ada sekalipun, Abang Halim boleh membimbing serta membetulkan kami.
"Mungkin ada juga cabarannya seperti melebihi had masa bercakap tapi saya akan memperbaikinya dari semasa ke semasa serta menyesuaikan diri," tuturnya merendah diri.
Di sebalik kegembiraannya dipilih Suria FM, dia sangat berharap akan mendapat sokongan daripada pendengar dan berjanji akan memanfaatkan kontrak setahun yang diikat bersama stesen radio berkenaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan