Apatah lagi pelbagai pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang berpatutan, tidak hairanlah apabila My KakiJamu Shop sentiasa dikunjungi pelanggan terutama pada hujung minggu.
Jelas Linda, dia amat berpuas hati dengan respons yang diterima oleh pelanggan yang rata-rata begitu positif dengan perkhidmatan yang disediakan.
Tidak hanya tertumpu kepada urutan kaki atau refleksologi, perniagaan baru itu turut menawarkan urutan badan, menata rias kuku tangan dan kaki serta pelbagai jenis mandian termasuk lulur, susu, limau dan rempah.
Seringkali yang menjadi pilihan adalah pakej berharga RM180 yang bermula dengan rendaman kaki bagi membuang toksik, sauna herba, mandi bunga, urutan badan selama dua jam dan minuman herba.
"Malah, kami juga ada pakej khas iaitu Aura Seri yang hanya disediakan pada hari Khamis dan Jumaat sahaja. Pakej berharga RM380 ini juga antara yang popular di sini.
"Dengan harga itu, pelanggan akan dapat menikmati mandi limau, mandi aura seri bunga, urutan badan untuk dua jam, urutan muka bagi menaikkan seri muka dan kemudiannya, diberi minuman herba.
"Mereka yang datang ke sini semuanya diberi layanan istimewa kerana lapan tukang urut kami semuanya tahu akan tugas masing-masing," jelas penyampai radio Suria FM berusia 34 tahun ini lagi.
Bukan itu sahaja, My KakiJamu Shop juga menyediakan pakej rawatan selepas bersalin lengkap selama empat jam untuk sekali rawatan.
Begitu cerewet dan teliti dalam soal pemilihan tukang urut, jelas Linda, tugas itu dilakukan sendiri olehnya dan Intan di mana mereka sendiri mencuba perkhidmatan tukang urut yang sering merawat mereka sebelum ini.
Seandainya urutan diberi begitu mengasyikkan atau dalam erti kata lain, sedap di badan, Intan akan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.
"Kami mahu pelanggan juga merasai apa yang kami nikmati dalam soal urutan ini. Jika kami puas, kami juga mahu pelanggan turut berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan," kata Intan yang berada di sisi Linda.
Ditanya apakah mempunyai perancangan untuk meluaskan lagi perniagaan kedai urut mereka itu, sambil tersenyum Intan memberitahu buat masa ini mereka mahu fokus kepada yang satu ini terlebih dahulu.
"Apabila kedudukan My KakiJamu Shop sudah kukuh, tidak mustahil untuk kami membuka cawangan lain di masa hadapan," katanya positif.
0 ulasan:
Catat Ulasan