Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, antara peserta yang ditonjolkan dalam Misi 12 merupakan minah rempit yang akan dibentuk oleh sembilan pembimbing daripada pelbagai bidang kerjaya untuk dikongsi bersama-sama para penonton.
"Misi 12 menampilkan 12 peserta yang telah kami pilih daripada sesi ujibakat pada tahun lalu. Mereka ini terdiri daripada mereka mempunyai masalah sosial dan kurang berjaya dalam kehidupan masing-masing. Contohnya, ada di antara mereka yang gagal dalam pelajaran.
"Tidak kurang juga yang pernah menjadi minah rempit. Jadi, melalui rancangan ini, kami akan membimbing mereka supaya berubah sikap dan menjadi lebih cemerlang dalam bidang yang akan mereka ceburi selepas itu nanti," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.
Pada pertemuan selepas pelancaran Misi 12 di Eco-Resort, Hulu Yam, Selangor itu, Nizam berharap agar rancangan seumpama itu boleh memberi iktibar kepada para penonton agar berusaha menjadi manusia yang lebih baik dan mencari kejayaan dalam hidup dalam apa juga kerjaya.
Justeru, kata Nizam, pihaknya telah memilih tiga ikon yang berjaya dalam kerjaya masing-masing untuk 12 peserta Misi 12 sepanjang tujuh minggu mereka terbabit dalam rancangan yang disiarkan di Astro Ria setiap Selasa mulai 7 Februari ini pukul 9 malam.
Tiga ikon yang akan berkongsi kejayaan mereka itu kepada 12 peserta terbabit ialah Pengurus Besar Mercedez Benz Malaysia, Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai,Pengarah Coffe Scene Sdn. Bhd. (Bangi Kopitiam), Ooi Kim Chong dan Kid Search.
"Rancangan seperti ini bukan sahaja memberi motivasi kepada para peserta tetapi secara tidak langsung ia juga mampu memberi perangsang kepada para penonton bagi berkongsi tips serta kejayaan tiga ikon terbabit dalam membentuk sikap mereka agar lebih positif," ujarnya.
Selain tiga ikon itu, Misi 12 turut menyediakan enam pembimbing yang terdiri daripada Dr. Deleila Hatun (kelas ekonomi), Dr. Tengku Ismadi (motivasi), Nur Syuhada Ridzuan (kelas bahasa Inggeris), Muhammad Faisal Ahmad (pengucapan awam) dan Imam Muda Aran (kelas agama).
Penerbit Eksekutif Misi 12, Ismadi Ismail berkata, pemilihan para peserta itu yang diadakan pada satu sesi ujibakat pada 31 Disember lalu mengambil kira latarbelakang mereka serta matlamat mereka dalam usaha untuk mengubah sikap dan nasib mereka agar lebih baik.
"12 peserta itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana semua ikon dan tenaga pengajar akan membimbing mereka dalam pelbagai aspek seperti motivasi, kerohanian dan pengurusan kewangan. Kami akan lihat kecenderungan dan perubahan sikap mereka.
"Tiada peserta yang akan disingkirkan dan mereka akan menyertainya selama tujuh minggu. Selepas itu, kami akan mengumumkan hadiah yang akan mereka terima berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan selepas berakhirnya tempoh tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Ooi Kim Chong yang mewakili ikon dalam Misi 12 berkata, dia akan mencurahkan pengalamannya dalam bidang pengurusan kepada para peserta terbabit agar sedikit sebanyak memberi motivasi untuk lebih berjaya dalam kerjaya yang mereka ceburi pada masa depan.
"Saya akan berkongsi pengalaman dan penat lelah dalam bidang yang saya ceburi ini. Walaupun cuma tujuh minggu sahaja, tetapi kalau para peserta memberi tumpuan dan bersungguh-sungguh menimba pengetahuan mereka boleh berubah secara konsisten.
"Selain mencipta kerjaya dalam bidang pengurusan, saya juga mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri tae-kwon do di mana jika para peserta terbabit berminat, saya juga akan berkongsi kebolehan dalam bidang ini," katanya bersungguh-sungguh.
12 peserta yang ditampilkan dalam Misi 12 ialah Mohamad Shafwan Abdul Saleem, 19, Muhammad Subky Halib, 23, Nur Syukree Arrif Sazali, 19, Muhammad Indera Mulia Muhammad, 24, Mohammad Anaz Mat Lasim, 22, Mohd. Hazmin Zamri, 19, Raja Mohd Azlan Raja Jafar, 23, Nor Ain Amin Nudin, 19, Fatin Azira Rohaizad, 21, Nur Atiqah Sarimbi, 23, Syahirah Saad, 22 dan Nadia Rahmat, 23.
0 ulasan:
Catat Ulasan