"Marathon memaparkan kehidupan Saerah. Walaupun usia semakin menghalang kudrat, tetapi larian hidupnya harus diteruskan.
"Hidup ini adalah seakan-akan sebuah larian yang panjang. Monolog ini merupakan sebuah ekspresi perasaan seorang wanita tentang hidupnya," jelas Fauziah.
Mengambil masa tiga minggu untuk latihan, dia tidak beraksi sendirian. Maraton turut menampilkan dua anak didik Fauziah iaitu Raja Emy Shahril Raja Ismail dan Mohd. Nor Hafiz Wahidudin yang menyampaikan monolog masing-masing.
Menjadi gabungan ekspresi daripada tiga suara di atas satu pentas, masing-masing mewakili krisis yang berbeza dengan tunjang utamanya digalas oleh Fauziah.
Raja Emy Shahril menyampaikan monolog berjudul Geliton yang mengisahkan perjuangan perasaan lelaki lembut.
"Bermonolog untuk watak Ahmad Rejab yang mahu keluar daripada perasaan cintanya kepada kaum sejenis itu memberi cabaran yang besar buat saya.
"Tetapi, syukur kerana saya dapat menterjemahkan bagaimana beratnya Ahmad Rejab mahu menyingkirkan perasaan yang sebati dalam jiwa itu untuk persembahan ini," ujar anak kelahiran Kuantan tersebut.
Buat pertama kalinya, Mohd. Nor Hafiz atau dikenali sebagai Oreo diberi peluang untuk melakukan monolog di atas pentas.
Merebut peluang yang diberikan itu untuk menonjolkan kebolehan diri, Oreo yang sedikit gugup berjaya mendalami watak seorang pemuda jurujual dalam segmen berjudul Talkaton.
"Perasaan berdebar-debar itu pasti ada, tetapi apabila sudah menyerap emosi watak Azhar saya berusaha untuk melupakan dunia sebenar.
"Azhar merupakan jurujual yang berfikir tentang banyak perkara. Pelbagai persoalan timbul dan dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku di sekelilingnya," kata jejaka berusia 29 tahun itu.
Tiket Maraton yang sedang dipentaskan sehingga 10 Jun nanti masih boleh didapati dengan harga RM50 di stefanievents@yahoo.com atau hubungi 017-316 7995.
Persembahan yang bermula pukul 9 malam selama sejam setengah itu menampilkan tiga sesi monolog yang berbeza berjudul Maraton, Geliton dan Talkaton.
0 ulasan:
Catat Ulasan