Program Hebat Sempena Maulidur Rasul Di TV3

Sempena menyambut keputeraan Nabi Muhammad s.a.w yang akan diraikan umat Islam seluruh dunia pada 5 Februari ini, TV3 bakal menyajikan pelbagai rancangan menarik buat santapan rohani para penonton.

Selami erti sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan “Menghayati Perjuangan Rasulullah s.a.w” pada tahun ini menerusi drama-drama hebat iaitu “Al–Ikhlas”, “Kasut”, “Runtuhnya Sebuah Dosa” dan “Telekung Buat Mama” yang membariskan pelakon-pelakon tersohor tanahair, antaranya, Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Noorkhiriah, Tiz Zaqyah, Remy Ishak, Beto Kusyairy dan Rahim Razali serta animasi tempatan “Saladin” yang menampilkan Fahrin Ahmad dan Faradhiya sebagai suara latar. Selain itu, TV3 turut mempersembahkan “Diet Rasulullah”, sebuah program majalah yang penuh maklumat dan informasi berguna buat penonton mengenai amalan permakanan Rasulullah s.a.w.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Istimewa Maulidur Rasul yang penuh inspirasi dan teladan bermula 4 Februari ini, hanya di TV3!

ISTIMEWA MAULIDUR RASUL

Cerekarama: Al–Ikhlas, 4 Februari 2012, 10.00 malam
Al-Ikhlas mengisahkan tentang Solah, seorang yang sangat lurus dan baik hati. Keadaan Solah menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalan tugas dengan ikhlas. Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal, dia tinggal berseorangan ditemani dengan kucing-kucing kesayangannya. Dia juga sering berkunjung ke surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut. Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ. Zaki seringkali mendesak Pak Ali, ketua kampung supaya merobohkan surau tersebut supaya dia boleh menjual tanah namun Pak Ali enggan kerana surau tersebut telah diamanahkan oleh bapa Zaki kepadanya. Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.

Pelakon: Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi.

Kasut, 5 Februari 2012, 10.30 pagi
Yaya (12 tahun) menerima bantuan persekolahan berbentuk pakaian dan kasut sekolah sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dua minggu sebelum cuti akhir tahun. Malangnya, bungkusan tersebut terjatuh dalam sungai ketika basikal yang ditunggang bersama adiknya, Din (10 tahun) tergelincir di jambatan. Yaya dan Din tidak berani memberitahu nenek mereka, Opah Hajar kerana bimbang dmarahi. Opah Hajar memang mengharapkan bantuan tersebut memandangkan hidup mereka terbeban dengan hutang yang ditinggalkan oleh arwah ayah mereka. Yaya dan Din berikhtiar untuk menggantikannya dengan wang saku. Yaya menjadi lemah kerana tidak cukup makan. Din juga mengambil upah mengisi kuih semasa cuti sekolah. Namun, pelbagai insiden terjadi menyebabkan hajat Din untuk menggantikan kasut yang sudah rosak tidak kesampaian. Yaya cuba menampal kasut lamanya.

Pelakon: Erryne Eryana, Fimie Don, Fauziah Nawi, Noorkhiriah, Mubarak Majid.

Diet Rasulullah, 6 Februari 2012, 6.00 petang
Program Diet Rasulullah s.a.w menyampaikan secebis maklumat kepada penonton mengenai amalan pemakanan Rasulullah s.a.w. Ia disampaikan secara santai oleh Ustaz Nor Hisham Al-Idrus dan sahabatnya, Cikgu Suhaimi Mamat kepada tiga anak-anak yang sedang meningkat remaja. Turut serta membimbing perbualan bermaklumat ini, Haji Ahmad Noor Sulaiman. Tanpa kita sedari rutin pemakanan seharian kita banyak mengundang penyakit kerana tidak mengikut amalan yang dipraktikkan Rasulullah s.a.w.

~ Gua

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top