TV AlHijrah melancarkan program Khidmat Syariah yang kini sudahpun memasuki musim ketiga.

Dihoskan pengacara berkaliber Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, program tersebut bukan sahaja memberi penerangan yang lebih terperinci mengenai setiap permasalahan yang diutarakan tetapi juga membantu golongan umat Islam di negara ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi melalui pendekatan Islam.

Noor Fiha Kasa, selaku penerbit program itu berharap kemunculan musim terbaru memberi lebih ruang kepada pihaknya mengutarakan lebih banyak masalah umat Islam.

“Kami mahu program ini menjadi rujukan buat umat Islam di negara ini khususnya dalam mendapatkan informasi mengenai undang-undang syariah.

“Secara tidak langsung melalui penerbitan Khidmat Syariah ini kami juga menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam di dalam membantu umat islam lain,” katanya ketika di temui di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya apa kelainan yang dijanjikan pada program kali ini Noor Fiha berkata, antaranya adalah dengan menambah jumlah masa siaran dari setengah jam kepada satu jam berbanding sebelum ini.

“Pada musim baru ini kami lebih menekankan penyelesaian secara mendalam untuk setiap persoalan yang diajukan pengadu.

“Selain itu juga dengan penambahan masa siaran, kami juga berpeluang untuk mengadakan perbincangan secara langsung dengan ahli panel yang mempunyai pengetahuan yang lebih luas untuk masalah yang dibincangkan,” jelasnya.

Sementara itu bagi Wan Kamaruddin Wan Ibrahim pula, dia percaya melalui program Khidmat Syariah, para penonton yang bukan daripada kalangan beragama Islam juga berpeluang untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai cara penyelesaian yang ditawarkan dalam perundangan Islam.

“Program ini sebenarnya sesuai untuk menjadi tontonan pelbagai golongan di negara ini memandang topik yang dibincangkan adalah umum.

“Selain itu saya percaya golongan bukan Islam juga bakal mendapat sedikit pengetahuan mengenai masalah yang dibincangkan dan seterusnya menangkis tanggapan negatif mereka terhadap agama suci ini,” katanya.


Menambah kelainan, pada program musim ini juga, kata Wan Kamaruddin, Khidmat Syariah bukan sahaja berdiri sebagai sebuah program berbentuk informasi tetapi juga boleh dijadikan sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan tokoh-tokoh Islam di negara ini.

“Setiap minggu kami akan menjemput ahli panel yang mampu memberikan jawapan terbaik untuk setiap soalan yang dibincangkan.

“Ternyata kesempatan ini juga sebenarnya memberi ruang untuk memperkenalkan mereka kepada umum dan sekali gus membantu umat Islam pada masa hadapan untuk mendapatkan khidmat mereka ini secara terus pula,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top