Ramai yang berbakat menyanyi dan berlakon tetapi kerana tiada tarikan daripada segi rupa dan imej yang glamor menyebabkan bakat yang ada tenggelam begitu sahaja.
Pada masa yang sama, ada juga artis yang kurang berbakat tetapi lebih bergantung kepada glamor semata-mata, turut tidak mampu bertahan lama dalam bidang ini.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli, hakikat yang membuktikan nilai-nilai glamor, kontroversi dan sensasi itu sudah lama terbukti mudah menarik perhatian ramai peminat dalam mana-mana juga industri hiburan termasuklah di negara ini.
“Memang ada artis yang banyak kontroversi dan gosip mudah menjadi popular. Secara tidak langsung ia boleh menjadi tarikan kepada para peminat untuk mengikuti apa juga perkembangan mereka termasuklah dengan menyaksikan lakonan mereka di kaca televisyen atau di panggung wayang.
“Faktor itu juga boleh menaikkan rating bilangan penonton di mana ia secara tidak langsung tentunya memberi kepercayaan kepada pihak stesen-stesen televisyen untuk menyiarkan lakonan artis-artis yang terbabit dalam kontroversi dan sedang popular pada satu-satu masa," katanya kepada Mega.
Senario itu memang berlaku kerana difahamkan ada stesen televisyen swasta yang secara awal-awal lagi telah menetapkan nama barisan pelakon popular yang akan mengisi slot tayangan mereka dalam sesebuah sesi pitching yang diadakan sebelum itu.
Perkara itu perlu dipenuhi oleh golongan penerbit sebelum penggambaran sesebuah drama atau telemovie itu dijalankan. Pendekatan tersebut membuktikan stesen-stesen televisyen tentunya amat mengambil kira siapakah pelakon yang akan ditampilkan dalam slot mereka.
Justeru, elemen populariti yang dilahirkan daripada kontroversi dan cerita-cerita sensasi golongan artis banyak membantu ke arah itu tetapi ia tidak wajar menjadi pilihan awal artis untuk naik.
Jelas Jurey, sungguhpun kontroversi dan cerita-cerita sensasi artis mampu mengangkat nama mereka dalam bidang seni tetapi ia hanyalah bersifat sementara.
Bakat sebenar dalam bidang seni adalah perkara hakiki yang lebih kuat untuk kekal lama dalam bidang tersebut.
“Banyak bukti menunjukkan cerita-cerita sensasi dan kontroversi mudah untuk mengingatkan para peminat terhadap artis. Tetapi semua itu tidak kekal lama kerana selepas itu ia akan dilupakan begitu sahaja. Ketika itu, yang tinggal ialah bakat mereka sebagai artis yang sebenar," ujarnya.
Sungguhpun ada pihak yang tidak boleh menafikan elemen-elemen kontroversi dan sensasi boleh melebarkan lagi populariti seseorang artis, namun perkara itu disanggah oleh penerbit dan pengarah syarikat produksi Skop Production, Datuk Yusof Haslam.
Pengarah filem Sembilu dan Tragedi Oktober ini berkata, para peminat kini semakin bijak dalam menilai kualiti yang ada dalam sesebuah drama atau filem dan tidak memandang barisan nama pelakon yang membintanginya semata-mata.
“Bagi saya, sesebuah kontroversi itu tidak boleh dijadikan bahan untuk ‘menjual’ sesebuah filem atau drama. Apa yang paling penting ialah pengisian dalam sesebuah produksi itu mestilah dekat di hati para penonton. Contohnya, dalam filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diminati sehingga ke hari ini.
“Saya juga mempunyai pengalaman sendiri daripada drama Sembilu Kasih yang mendapat sambutan ramai sewaktu ia ditayangkan di RTM. Filem itu menampilkan banyak elemen komersial dan glamor termasuklah di kalangan pelakonnya ketika itu.
“Sayangnya, selepas itu ia disambung semula penggambarannya dan ditayangkan pula di TV3 tetapi sambutannya tidak sehebat seperti di RTM. Dalam erti kata mudah faktor populariti pelakon atau apa juga cerita sensasi yang membabitkan para pelakonnya belum mampu menjadikan ia terus diterima oleh para penonton," ulasnya.
Mungkin hujah Yusof itu ada kebenarannya berdasarkan fakta yang ditonjolkan menerusi drama bersiri berjudul Juvana yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini.
Drama itu menampilkan lebih 90 peratus kalangan pelakon baru seperti Johan Ashari, jauh sekali menggunakan elemen-elemen kontroversi dan sensasi para pelakonnya tetapi ia mencatatkan rating penonton melebih 4 juta penonton.
Kesimpulannya, bakat sebenar setiap artis merupakan aset paling utama bagi mengangkat populariti serta kualiti produk yang ingin mereka hasilkan.
Bagaimanapun, jika ia ditambah dengan faktor lain termasuklah promosi dan tarikan-tarikan seperti publisiti yang kuat maka ia adalah suatu rangkuman yang boleh menguatkan lagi sesuatu kejayaan itu.
Populariti yang mendadak juga tidak mampu berkekalan untuk terus menjana nama yang hebat dalam dunia hiburan.
Sebaliknya hayat seseorang artis akan mudah reput, seterusnya dilupakan begitu saja jika tidak berteraskan kepada bakat sejati. ~ Utusan
0 ulasan:
Catat Ulasan