To’Ki menidakkan dakwaan individu yang mengatakan dia kini merupakan seorang peminta sedekah.
“Saya bukanlah nak kata saya ini orang yang senang, tetapi saya ada membantu kawan-kawan berniaga dengan memberi pinjaman kepada mereka.
Jadi, ada antaranya yang meminta untuk membayar hutang secara ansuran.
“Oleh itu, secara tidak langsung, memanglah saya ada beberapa kali pergi berjumpa mereka. Tetapi, ada yang memanipulasi cerita ini dengan mengatakan saya meminta sedekah. Padahal saya pergi meminta hak saya,” jelasnya.
Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak yang menaburkan cerita, To’Ki menganggap segala yang berlaku sebagai lumrah kehidupan dan reda dengan ujian ALLAH SWT.
“Saya memegang pesan ALLAH SWT yang mahu semua umatnya bersatu dan saya tidak berdendam dan memusuhi sesiapa.
“Lagi pula, kalau nak diikutkan logik, saya pergi berjumpa kawan saya bersama isteri untuk menuntut hak saya dan bukannya datang seperti along atau samseng.
“Bagi saya, cerita-cerita sebegini adalah lumrah kehidupan dan lumrah saya sebagai anak seni. Saya adalah bahan sensasi dan secara tidak langsung, dapat dijadikan bahan berita oleh wartawan,” katanya berseloroh.
Ganggu Emosi Keluarga
Sebagai manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, To’ Ki mengakui merasa tertekan dengan cerita sebegini.
Namun, dia lebih memikirkan emosi keluarganya dan tidak mahu mereka menerima tempias cerita-cerita negatif sebegini.
“Cerita negatif sebegini boleh mencetuskan emosi kepada ibu bapa saya, isteri saya yang kini mengandung dua bulan, dan anak-anak saya.
“Malah, mungkin dua anak saya yang kini menuntut di institusi pengajian tinggi lebih merasa tekanan kerana pandangan serong orang di sekeliling mereka. Lagi pula, mereka remaja urban, tentu mereka membaca mengenai ayah mereka menerusi Internet.
“Walaupun bukan senang untuk memanipulasi anak saya mengenai ayah mereka kerana mereka lebih mengenali saya tetapi saya tidak mahu emosi mereka terganggu,” katanya.
Sedia Kembali
MENYENTUH tentang perkembangan karier seninya, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hampa, Biasan dan Seni Berzaman sekitar tahun 90-an dulu, mengakui sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri seni dan telah menyiapkan EP albumnya.
“Saya sudah menyiapkan empat buah lagu untuk EP saya. Ada lagu yang dicipta oleh orang lain dan saya hanya membantu dari segi melodinya sahaja.
“Saya mahu sama-sama menyinari industri selepas ini dan saya ibaratkan saya antara rencah yang ada dalam kuali industri.
“Bila kurang rencahnya, rasa itu tidak cukup enak. Jadi, saya mahu kembalikan rasa itu, oleh sebab itulah saya mahu kembali aktif.
“Mungkin ada hikmahnya kontroversi yang berlaku ini, kerana secara tidak langsung orang sudah mengingati dan mengenali To’Ki dan memudahkan saya untuk mempromosikan EP saya kelak,” katanya berseloroh.
Selain sibuk menyiapkan EPnya, To’Ki berkata, dia masih menerima undangan nyanyian termasuk akan mengadakan satu persembahan di Pekan, Pahang bulan ini.
Biarpun bakal bersaing dengan nama-nama baru kelak, To’Ki merasakan tidak takut kerana setiap penyanyi ada cara mereka yang tersendiri.
“Niat saya untuk kembali menyanyi bukan kerana malu mengejar glamor dan sebagainya. Saya buat kerana ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat, itu sahaja,” jelasnya yang berharap mendapat respons positif pada kemunculannya nanti.
~ SH
0 ulasan:
Catat Ulasan