Bananana! jenama program kanak-kanak Media Prima Berhad (Media Prima) dicetuskan bagi menyatukan semua rancangan kanak-kanak di stesen TV milik Media Prima (TV3, ntv7, 8TV, TV9) dan Tonton, portal video premier di Malaysia.

Menurut Ahmad Izham, Bananana! dipilih bagi menyelaras semua program kanak-kanak di stesen milik Media Prima supaya senang diingati penonton. Bananana! akan digunakan sepenuhnya bermula 1 Jun ini.

“Inilah tujuannya kami mengadakan Bananana Party pada petang ini. Tujuannya untuk memberitahu jenama ini akan kekal digunakan di semua stesen TV Media Prima. Manakala kandungan rancangan untuk kanak-kanak pula dipelbagaikan.

“Program yang disiarkan nanti bercampur antara tempatan dan luar. Selain daripada program antarabangsa seperti Ben 10 dan Doraemon, kami ada program tempatan seperti Upin & Ipin dan Boboiboy! yang akan mendapat tempat di pasaran rantau Asia dan juga di seluruh dunia.

“Selain daripada itu, terdapat juga pelbagai kandungan baru dan menarik yang lain seperti Bola Kampung, Supertots, Dunia Eicak dan banyak lagi. Kami juga menubuhkan Bananana! Studios bagi menghasilkan produk animasi tempatan.

“Kerjasama ini dijalinkan dengan usahasama dengan pihak MDeC, Cradle, Rhythm & Hues serta untuk mencungkil bakat baru dalam penghasilan animasi tempatan.

“Hasil kandungan animasi pendek daripada pengkarya animasi yang berbakat dan syarikat yang menghasilkan animasi akan disiarkan di Tonton untuk tatapan rakyat di seluruh negara bagi menyaksikan kempen yang dikenali sebagai The Next Big Thing Project.

“Dari situ mereka akan diundi oleh penonton dan mereka yang mendapat undian tertinggi akan diberi suntikan modal oleh MDeC bagi menghasilkan animasi untuk disiarkan menerusi stesen milik kami,” katanya.

Tambah Ahmad Izham lagi, The Next Big Thing Project akan bermula pada 1 Julai nanti. Dia membayangkan banyak manfaat yang bakal diperolehi terutamanya penonjolan unsur kebudayaan masyarakat majmuk negara kepada dunia luar menerusi animasi ini.

Menurutnya lagi, setiap program animasi mereka mendapat rating penonton tinggi daripada pelbagai peringkat umur sebanyak 24 juta orang setiap hari.

Sehingga akhir bulan Februari 2012, Media Prima telah berjaya mendominasi peratusan sebagai pembekal kandungan rancangan kanak-kanak di negara ini sebanyak 46.6 peratus.

“Sebenarnya penjenamaan semula ini lebih daripada mencari kutipan iklan. Seperti saya katakan tadi, tujuan sebenar kami ialah mencari bakat baru dalam bidang animasi.

“Ini ialah satu ‘platform’ untuk bawa animasi tempatan ke tahap tertinggi sepertimana ditunjukkan oleh Upin & Ipin serta Boboiboy!,” katanya yang turut bercadang melantik artis tertentu sebagai ikon animasi tertentu.

Menurut Pengurus Jenama Bananana! Azri Badri pula, biarpun menggunakan satu jenama, program animasi diantara setiap stesen tetap dipecahkan mengikut sasaran penonton masing-masing.

“Program animasi di TV3 adalah untuk pasaran semasa manakala animasi di TV9 pula lebih kepada golongan masyarakat luar bandar. Ia termasuk Idola Kecil juga akan dimasukkan dalam jenama Bananana!

“Sebenarnya Bananana! Studios sudah lama ditubuhkan tapi kami ambil sedikit masa untuk aktif. Kami sudah hasilkan lima animasi tempatan yang akan menemui penonton nanti. Dalam masa sama, Bananana! akhirnya dijadikan jenama untuk semua program kanak-kanak.

“Menerusi The Next Big Thing Project pula, kami akan siarkan 20 hingga 30 animasi baru menerusi Tonton untuk dinilai oleh peminat. Ada diantaranya bersiri dan ada berbentuk filem. Animasi ini akan bersaing untuk kami mengenal pasti yang betul-betul berkualiti,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top