Sebagai artis di bawah naungan MIG Production (MIG), ternyata Mon Ryanti, Fyza Kadir dan Epy Raja Lawak dilihat semakin menyerlah setelah kerap tampil dalam filem-filem terbitan syarikat tersebut.

Menurut Mon Ryanti atau nama sebenarnya Mon Ryanti Sahudina Lee, sehingga kini dia sudah berlakon sebanyak tujuh buah filem sejak mula bergiat aktif sebagai pelakon pada tahun 2010.

“Saya anggap ini semua adalah rezeki dan pilihan saya untuk memberi fokus dalam bidang lakonan ternyata langkah yang tepat. Lagipun saya berkecimpung dalam bidang lakonan kerana minat yang cukup mendalam.

Mon Ryanti

“Memandangkan sehingga kini saya sudah tampil dengan tujuh buah filem, mungkin selepas ini saya mahu memberi fokus kepada drama pula dan bersedia untuk menerima apa sahaja watak yang diberikan,” ujarnya.

Selain Nongkrong, antara filem-filem lakonan Mon Ryanti seperti Keramat, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS), Aku Terima Nikahnya, Hantu Dalam Botol Kicap, Bro, Nampak Motor Gua? dan Salam Cinta.

Bagi pelakon yang lahir menerusi rancangan Raja Lawak 5, Epy Raja Lawak atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi memberitahu sejak menyertai MIG pada pertengahan tahun lalu, dia sudah berlakon sebanyak tiga buah filem.

“Pada mulanya saya sangat terkejut apabila mendapat tawaran memegang watak utama dalam filem Nongkrong, meskipun saya baru tiga bulan bersama MIG. Namun, saya gembira kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Sam dan Angah.

“Saya akui masih lagi baharu dalam bidang ini dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Apa pun saya tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan dan pastinya ia menjadi batu loncatan buat saya memperbaiki lagi mutu lakonan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelakon iaitu Norhafiezzah A. Kadir atau Fyza Kadir yang membawakan watak Puteri 2 dalam Nongkrong berkata, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang anak seni.

Ujarnya, pembabitannya dalam bidang lakonan berlaku secara kebetulan apabila bertemu dengan salah seorang penulis skrip MIG, Shahriman Wahab yang telah menyarankannya untuk mencuba nasib menjadi pelakon.

“Sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi seorang pereka fesyen. Namun, dengan keyakinan yang telah diberikan oleh David Teo, saya rasa tidak salah kalau saya cuba terlebih dahulu.

“Apabila mula terbabit dengan filem Nongkrong dan berlakon di samping pelakon hebat seperti Sam, banyak pengalaman diperoleh dan rakan-rakan pelakon yang lain juga banyak membantu saya,” ujarnya yang mengakui dirinya seorang yang agak pemalu.

Menurut pemegang diploma dalam bidang fesyen dari Kolej MIA itu lagi, kini dia mula berasa seronok bergelar pelakon dan akan muncul dalam beberapa buah filem lagi seperti Seram Sejuk, Per3, Satu Lawan Satu dan Kisah Paling Gangster.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top