Anggota band Hevance muncul juara Anugerah Juara Rentak Ruai 2011 (AJARR) 2011, suatu acara muzik paling berprestij buat penyanyi Iban yang berlangsung di Dewan Suarah, Sibu, Sarawak.

Kali pertama menjejakkan kaki di pentas AJARR 2011 menerusi lagu rock berjudul Aku Nemu (Aku Tahu) ciptaan vokalis Hevance sendiri, Aldrich, Hevance yang turut dianggotai Joners (gitar), Lucas (bass), Gideon (dram) dan Nathanial (keyboard) tidak pernah menyangka mereka akan menewaskan 11 penyanyi popular Iban yang lain.

Bertemu dengan mereka sebaik AJARR 2011 berakhir, senyuman kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap anggota Hevance.

Kata Aldrich: "Memang terkejut kerana ini kali pertama kami cuba nasib dan terus menang. Ketika nama band kami diumumkan juara, saya seperti mahu pengsan dan terasa kaku buat sementara waktu.

"Kami buat persembahan dalam AJARR 2011 adalah untuk menghiburkan orang ramai dan berkongsi muzik kami dengan semua peminat muzik Iban. Kemenangan itu sesuatu yang tidak ada dalam fikiran kami tetapi dalam masa yang sama kami bersyukur kerana juri melihat potensi serta bakat yang ada dalam band Hevance."

Ditanya siapakah antara sebelas penyanyi yang bertanding pada AJARR 2011 yang memberi saingan paling sengit kepada Hevance, kesemua anggota band Hevance memilih penyanyi jelita Melissa Francis. Malah dalam jangkaan Hevance, Melissa yang bakal muncul sebagai juara.

"Kami semua ingat Melissa yang akan menang kerana persembahan, vokal dan bakat yang dimilikinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tambahan lagunya juga sungguh sedap dan amat popular dalam kalangan peminat muzik Iban," ujar Nathanial melontarkan pandangannya.

Aku Nemu yang merupakan single kedua daripada album pertama band Hevance yang diberi judul Sada Ati (Rintihan Hati) dicipta dalam masa hanya empat jam sahaja. Bagaimanapun persiapan untuk persembahan dalam AJARR 2011 telah bermula sejak bulan Mac yang lalu.

"Kami melakukan persiapan dalam tempoh kira-kira dua bulan. Masa yang lama diambil kerana kami ingin memberi impak pada kemunculan pertama kami. Ternyata latihan itu sangat berbaloi apabila kami bergelar juara," tutur Aldrich yang turut mencipta lagu untuk penyanyi Iban yang lain.

Kemenangan Hevance yang membawa muzik baharu dalam industri muzik Iban yang selama ini dimonopoli oleh genre irama Malaysia khususnya joget, namun kemenangan band Masterpiece yang membawa irama Iban Fusion pada AJARR 2010 telah mengubah senario tersebut.

Akui Aldrich, Masterpiece memberi suntikan semangat untuk mereka terus berjuang dalam irama Iban Fusion berbanding dengan irama Malaysia yang lebih diterima secara meluas oleh segenap usia etnik Iban di Sarawak.

"Saya dapat lihat perkembangan yang amat menggalakkan sejak Masterpiece menang AJARR 2010. Munculnya lebih banyak muzik genre baharu dalam industri muzik Iban serta orang ramai semakin terbuka terhadap muzik baharu seperti kami.

"Kalau ikutkan orang-orang tua lebih sukakan lagu irama Malaysia, tetapi apabila anak muda lihat muzik rock juga semakin diterima, muzik Iban semakin berkembang kerana ramai anak muda semakin berani muncul dengan lagu ciptaan masing-masing tidak ketinggalan band Hevance juga," luah Nathanial.

Hevance ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula aktif dalam industri muzik Iban sejak tahun 2008. Menurut Aldrich band Hevance telah melalui beberapa pertukaran anggota dan mereka telah melahirkan album sulung pada bulan Jun tahun lalu.

Kemenangan Hevance melayakkan mereka menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Melissa paling popular

Melissa Francis yang membawakan lagu ciptaan adik lelakinya, Hairee Francis berjudul Mutus Ati (Kurelakan) sememangnya memberi impak yang cukup hebat. Tidak hanya daripada kostum yang dipakainya, malah Melissa turut melakukan gimik lakonan ketika melakukan persembahan.

Melissa merupakan penyanyi Iban yang paling popular buat masa ini. Buktinya, Mutus Ati telah dipilih menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh peminat sebagai juara lagu popular dengan undian sebanyak 21,226, satu angka yang cukup besar.


Bukan itu sahaja, Melissa turut dipilih oleh juri profesional sebagai pemenang vokal terbaik. Kemenangannya itu membolehkan Melissa membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000 secara keseluruhannya. RM2,000 untuk vokal terbaik dan RM3,000 untuk juara lagu popular.

"Saya tidak sangka akan menang dua anugerah sekali. Lagu Mutus Ati sangat dekat dengan jiwa saya dan apabila dipilih sebagai juara lagu popular, saya cukup senang kerana lagu yang dicipta oleh adik saya diterima ramai.

"Mengenai kemenangan vokal pula, saya rasa ramai penyanyi lain juga hebat-hebat. Mungkin ini sudah rezeki saya, sudah pasti kemenangan ini sesuatu yang cukup menggembirakan," katanya yang mengambil masa selama tiga bulan melakukan persediaan untuk AJARR 2011.

Melissa yang membawakan lagu pop dan bekerja sebagai penyunting visual di Kuala Lumpur berkata, masa latihan sangat terbatas buatnya kerana dia mempunyai pekerjaan yang tetap dan latihan dijalankan hanya pada hujung minggu sahaja.

Disoal mungkinkah Mutus Ati berkaitan dengan kisah peribadinya selepas penceraiannya dengan penyanyi Rickie Andrewson pada bulan Jun 2011 yang juga merupakan pemenang lagu popular tempat ketiga menerusi lagunya Engkerecam Cuka (Bermasam Muka) dalam AJARR 2011.

Akui Melissa, pada awalnya lagu itu memang bersifat peribadi mengenai hatinya tetapi kini, lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata.

"Dulu memang bersifat peribadi kerana saya kecewa dengan perkahwinan tetapi sekarang sudah tidak ada makna lagi. Saya sudah melupakan semua yang berlaku dan memandang ke hadapan sahaja. Lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata," katanya yang mula aktif menyanyi di Kuala Lumpur.

Meskipun ada parut di hati wanita berusia 26 tahun itu, tetapi dia masih boleh berdiri di atas pentas yang sama dengan bekas suaminya di dalam AJARR 2011.

"Apabila berkaitan dengan hal kerjaya, saya bersikap profesional. Saya tidak ada sebarang masalah untuk berada dalam satu pentas yang sama dengan dia (bekas suami). Ketika menyanyi, saya memang menyanyi dengan penuh perasaan kerana menghayati lirik lagu itu," jawab Melissa.

Selain Mutus Ati yang dipetik daripada album kelimanya, Melissa turut memuatkan lagu tersebut yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu dalam album kelimanya yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Selain Melissa dan Rickie Andrewson, penyanyi Lucy M mendapat tempat kedua untuk lagu popular dengan undian sebanyak 8,396.

Persembahan Terbaik

Band Ethnic Transmissions (ET) yang pertama kali menyertai AJARR 2011 dengan lagu Pulai Pengujung (Penghujung) mampu tersenyum apabila berjaya membawa pulang trofi persembahan terbaik dan menerima wang tunai berjumlah RM2,000.

Meskipun membuat persembahan tanpa vokalis utamanya yang juga pencipta Pulai Pengujung, Macmillan Lungan yang terpaksa bekerja pada hari persembahan, ET yang dianggotai oleh Estee Clara (gitar), David (drum), Daniel Anding (gitar utama) dan Norman Anding (bass) tetap memberi persembahan terbaik dengan vokalis gantian, Kent yang merupakan anggota Masterpiece.

"Mungkin kami menang sebab Kent juga. Jika dia tidak menyanyikan lagu dengan baik dan bersungguh-sungguh ketika melakukan persembahan, kami tidak akan menerima trofi ini. Kalau daripada persembahan, kami telah beri 110 peratus tenaga," ujar Norman.

ET mengharapkan selepas kemenangan mereka di AJARR 2011 dapat membuka mata banyak pihak tentang kualiti muzik Iban.

"Kami main muzik untuk menghiburkan orang ramai dan juga memartabatkan lagi muzik Iban ke peringkat yang lebih tinggi," balas Norman lagi.

Ketua juri Iskandar Bujang menjelaskan kesemua pihak juri sebulat suara memilih band Hevence kerana kualiti serta perbezaan muzik yang dibawakan oleh mereka.

Selain Hevence, Melissa, Ethnic Transmissions, Lucy M dan Rickie Andrewson finalis lain yang turut bertanding termasuk Inochi Austin, Rolisawati, Wendy, Betty, James Jacob, Clemence Joys dan Jennarino Jeraki. Artis yang turut membuat persembahan ialah Amir UK's.

AJARR 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh stesen radio swasta Cats FM. Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dipilih selepas beberapa minggu menjuarai Carta Lagu Terbilang Cats yang disiarkan setiap Ahad pada pukul 4 hingga 6 petang dalam program Cats Ujung Minggu di radio Cats FM.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top