Ibnor Riza,penyanyi era 80-an mengaku tidak pernah mengundi sepanjang hidupnya kerana tidak begitu tertarik dengan dunia politik tanah air.

Ibnor Riza, 50, berkata, selama ini dia lebih gemar menjadikan dirinya sebagai individu 'atas pagar' dan tidak terlalu fanatik kepada mana-mana parti politik di negara ini.

“Bukan saya tidak peka dengan perkembangan politik tanah air cuma saya tidak mahu ambil perhatian lebih atau jadi pengikut parti-parti tertentu.

“Apabila membabitkan soal politik, saya lebih selesa amalkan sikap 'atas pagar' dan jadi pemerhati saja. Bayangkan, selama ini saya tidak berminat melayan cerita-cerita politik sampai ke tahap saya tidak pernah keluar mengundi,” katanya.

Ibnor ditemui ketika menyerahkan borang keahlian sebagai ahli Umno di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Selain itu, penyanyi Amy (Search) dan Mus (May) turut mengikut jejak yang serupa.

Borang keahlian mereka diterima Setiausaha Kerja Umno Pusat, Datuk Ab Rauf Yusoh. Ketiga-tiga artis terbabit akan menjadi anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka, Bahagian Bukit Bintang.

Ibnor yang berhasrat membuang undi buat kali pertama pada pilihan raya umum kali ini berkata, penyanyi Jamal Abdillah telah menyedarkan dia tentang kepentingan berada di bawah parti politik yang stabil seperti Umno.

Ibnor Riza

“Saya tergerak hati untuk menyertai Umno selepas berbual-bual dengan Jamal kerana kami kerap bermain badminton bersama. Jamal pernah berkata golongan artis perlu bersatu untuk terus berjaya dan Umno mampu memajukan dan melindungi artis.

“Saya sertai parti atas kesedaran sendiri dan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan atau faedah,” jelasnya sambil menafikan penyertaannya dalam parti itu kerana kepentingan kerjaya.

~ Mstar

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top