Dalam sebuah rancangan hiburan dan gosip popular ada menyiarkan kenyataan produser filem terkenal, Mejar David Teo mengesahkan kes tuntutan bayaran berjumlah RM200,000 yang dibuat oleh pelawak Saiful Apek kepadanya sudahpun dibatalkan.
Malah kes tuntutan kepada bayaran pulangan wang pelaburan daripada filem Lady Bos dan Anak Mami Kembali yang difailkan pada tahun 2006, sudah pun ditutup oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam pada Disember tahun lalu.
Sungguhpun begitu, Apek yang ditemui dalam sidang media petang semalam mendakwa dia sendiri tidak tahu menahu mengenai pembatalan kes tersebut dan hanya mendapat tahu setelah David Teo memberi kenyataan dalam sebuah program hiburan berkenaan.
"Sebenarnya sehingga hari ini, tiada seorang pihak berkenaan memberitahu saya mengenai pembatalan kes ini dan jika saya tahu tidak mungkin saya bertindak untuk menyuarakan perkara ini.
"Silap saya juga kerana pada waktu itu tidak memahami serta membaca dengan teliti kontrak sebelum bersetuju dan menandatanganinya. Sebaliknya hanya berjabat tangan dan hanya berjanji dengan mulut ke mulut.
"Tidak mengapa kerana saya pun sudah akur dengan keputusan ini. Lagipun perkara ini sudah hampir tujuh tahun berlalu dan perasaan kecewa itu sudah tidak begitu terasa," katanya.
Tidak pasti punca tuntutannya ditolak, Apek berkata sebelum ini mahkamah ada memberitahu bahawa dia tidak layak menuntut apa-apa daripada dua buah filem yang dihasilkan itu.
"Saya sendiri tidak tahu apa puncanya tuntutan saya tidak dilayan. Jika nak kata saya tidak tahu hak sebagai penerbit, mengapa tiga filem yang saya terbitkan sebelum itu tidak ada apa-apa masalah," luahnya lagi.
Tiga buah filem yang dimaksudkan Saiful Apek adalah filem Senario XX, Biar Betul dan Dia Datang.
Selepas gagal menuntut wang pelaburannya berjumlah RM200 000, Apek kini dalam proses menubuhkan satu Biro Kemas (Kebajikan Eksklusif Masyarakat dan Seni) untuk bangkit membela hak dan nasib artis-artis yang teranaiya dengan mana-mana produksi atau organisasi.
Saiful Apek memberitahu, Biro Kemas berkenaan merupakan medium untuk membantu serta menuntut bela artis-artis lain supaya tidak menanggung nasib yang sama dengannya.
"Pertubuhan Biro Kemas ini merupakan inisiatif saya sendiri selepas apa yang berlaku terhadap kes saya dan David Teo pada tujuh tahun lalu.
"Kemas bakal menjadi medium untuk artis merujuk serta membela hak khususnya kes yang sama seperti saya kerana kami akan lantik peguam untuk bersama dengan kami.
"Walaubagaimanapun, semua aduan artis itu akan kami suarakan kepada persatuan seperti Seniman dan Karyawan juga untuk membantu dan menyokong kami,"kata Apek. ~ Murai
0 ulasan:
Catat Ulasan